Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Zara menitiskan air mata dua kali – Saksi

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Seorang saksi memaklumkan bahawa beliau melihat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menitiskan air matanya sebanyak dua kali ketika dalam perjalanan ke hospital.

Nor Asimah Zaiton, 50, memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa ketika petugas ambulans memintanya membalut tangan Zara, beliau memanggil nama Zara dan melihat air mata Zara mengalir dua titis.

Bagaimanapun, saksi ke-55 itu berkata beliau tidak pasti sama ada Zara sedar pada ketika itu.

Menurut Nor Asimah, apabila tiba di hospital beliau menghubungi ibu Zara dan memaklumkan bahawa mereka sudah tiba di Hospital Queen Elizabeth 1.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari, Nor Asimah berkata beliau tidak melihat kecederaan pada bahagian atas badan Zara, namun menyedari kaki mangsa berdarah.

Beliau turut memberitahu bahawa ketika melihat Zara terbaring di bawah asrama puteri, remaja itu kelihatan masih bernafas, walaupun hujung kakinya berdarah dan tulang kakinya terbonjol. Menurutnya darah yang keluar sederhana.

Saksi yang juga bekas warden asrama itu menjelaskan bahawa Zara telah dialihkan dari lokasi asal tempat dia ditemui. Menurutnya Zara diangkat angkat antara rumah warden dan pagar asrama.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa Zara memakai pakaian sukan berwarna biru dan putih, yang diserahkan kepadanya oleh seorang kaunselor Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Namun beliau tidak mengetahui sebab pakaian itu berada dalam jagaan kaunselor berkenaan.

Bungkusan mengandungi pakaian tersebut kemudiannya diserahkan kepada sepupu ibu Zara yang berada di hospital pada waktu itu.

Zara, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di hospital.

Inkues bersambung esok.

LEAVE A RESPONSE