Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kabinet Sabah dibentuk atas komitmen bersama – Armizan


Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Kabinet Kerajaan Sabah yang dibentuk hari ini diasaskan atas komitmen wakil-wakil parti yang terlibat untuk membentuk kerangka dan asas utama hala tuju negeri.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata sungguhpun kesemua lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas pernah menjadi pimpinan parti GRS sebelum hari penamaan calon, suara mereka kini atas kapasiti ADUN Bebas amat penting.

“Agenda mendahulukan dan mengutamakan hak dan kepentingan Sabah akan menjadi teras utama sebagaimana yang termaktub dalam aku janji pilihan raya semua parti dan ADUN yang terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata Kabinet Negeri bertanggungjawab memaklumkan rakyat tentang kerangka dan asas agenda utama negeri sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama.

Jelasnya, sungguhpun tidak ada satu gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan Kerajaan, namun mandat rakyat yang turun mengundi inginkan sebuah Kerajaan didirikan untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna.

“Dari mana pun datangnya ADUN-ADUN yang dipilih dan menjadi komponen kepada Kerajaan Negeri, pastikan aspirasi Sabahan dilaksanakan segera melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti.

“Sementara ADUN-ADUN pembangkang memainkan peranan penting semak dan imbang,” katanya.

Tambahnya: “Moga segala ikhtiar diberkati untuk merintis masa depan yang jauh lebih baik untuk Sabah dan Sabahan keseluruhannya.”

LEAVE A RESPONSE