Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Kekuatan mental, semangat juang mampu atasi segalanya – Mashitah


Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Perjalanan hidup penuh ujian tidak mematahkan semangat seorang graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) Dayang Ku Siti Mashitah Ak Sulaiman,24, yang menamatkan pengajian secara Aegroatat pada istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Isnin.

Anak kedua dari empat beradik itu berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) walaupun pernah koma selama sebulan selain turut kehilangan sebahagian anggota badan serta mengalami gangguan pertuturan akibat strok.

Mashitah berkata,kejayaan menerima anugerah pada hari konvokesyen bukan sahaja membanggakan, malah menjadi bukti bahawa kekuatan mental dan semangat juang mampu mengatasi segala kekurangan fizikal.

“Saya sebenarnya sedih, tapi dalam sedih itu saya gembira. Saya langsung tidak percaya saya boleh habiskan pengajian ini kerana keadaan fizikal saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas menerima penganugerahan ijazah di Dewan Canselor UMS di sini.

Mengimbas kembali detik hitam dalam hidupnya, beliau berkata, pada tahun 2023, ketika berada di tahun kedua pengajian, dia dimasukkan ke hospital akibat sakit perut sebelum disahkan mengalami komplikasi appendiks yang serius.

“Saya tidak sangka, bila saya sedar, rupa-rupanya saya sudah koma selama sebulan. Bila bangun, saya hilang ingatan. Saya langsung tidak tahu saya seorang pelajar UMS,” katanya.

Lebih memilukan, beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada Ogos tahun yang sama sebelum kembali menyambung pengajian pada Mac 2024.

Selain kehilangan anggota badan, beliau turut mengalami strok yang menyebabkan gangguan pertuturan.

Keadaan itu katanya turut menyukarkan beluau untuk membuat pembentangan, lebih-lebih lagi secara video.

“Kadang-kadang satu minit pun saya boleh kelam-kabut. Tapi Alhamdulillah, pensyarah beri masa tambahan untuk saya,” katanya dengan penuh syukur.

Sementara itu, Mashitah berkata, pengalaman koma menjadi titik perubahan yang membuatkan beliau benar-benar menghargai ilmu.

“Selepas koma, saya rasa kosong. Kadang-kadang saya baca sifir untuk isi kekosongan dalam minda. Dari situ saya tahu, saya tak boleh hidup tanpa ilmu.

“Walaupun saya menghadapi keterbatasan pergerakan akibat kerusi roda, sokongan rakan-rakan menjadi kekuatan utama buatnya. Kadang-kadang saya sampai ada dua kumpulan kerana mereka semua mahu berkumpulan dengan saya,” katanya.

Ditanya mengenai yuran pengajian, beliau mengakui tidak pernah menerima sebarang bantuan atau biasiswa khas OKU sepanjang tempoh pengajian.

“Saya tidak pernah mohon sebab saya tidak dimaklumkan kewujudan bantuan. Jadi semua yuran saya tanggung sendiri,” katanya.

Walaupun bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana, beliau akur hasrat itu terhalang buat sementara waktu kerana status keputusan akademik.

“Saya mahu sambung Sarjana, tapi keputusan saya ‘Aegroatat dan tidak layak buat masa ini,” katanya.

Namun beliau tetap bertekad untuk terus berusaha mencari jalan terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.

Beliau turut meluahkan rasa terharu kepada semua yang telah membantunya sepanjang perjuangan hidup dan pengajian.

“Saya minta maaf kalau saya menyusahkan. Insya-Allah saya akan balas semua kebaikan mereka satu hari nanti,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE