Read Time:3 Minute, 36 Second
Dalam landskap digital tanpa sempadan hari ini, golongan kanak-kanak menjadi antara kelompok paling terdedah kepada ancaman keselamatan dalam talian.
Antara bentuk ancaman paling serius ialah bahan eksploitasi seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang bukan sahaja mencabul maruah dan hak kanak-kanak, malah meninggalkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsa.
CSAM hadir dalam pelbagai bentuk terdiri daripada imej yang diubah suai, rakaman paksaan, sehinggalah perkongsian melalui akaun persendirian dan kumpulan tertutup.
Sifat kandungan ini yang tersembunyi dan sukar dikesan menjadikan proses pengesanan konsisten serta penyingkiran pantas sebagai satu keperluan kritikal, bukan lagi pilihan.
Lebih membimbangkan, dapatan terkini di peringkat kebangsaan menunjukkan bahawa penghasilan, pengedaran dan urus niaga bahan eksploitasi ini kini semakin kompleks.
Ia beroperasi menggunakan akaun tanpa identiti, rangkaian tertutup serta mekanisme pembayaran tanpa tunai. Corak ini membuktikan bahawa jenayah siber kini bergerak seiring dengan teknologi, menjadikannya semakin sukar dibendung sekiranya kawalan ketat tidak dilaksanakan.
ISYARAT AMARAN DARIPADA OPERASI NASIONAL
Operasi berskala nasional yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 23 hingga 30 September 2025 menjadi bukti jelas betapa seriusnya ancaman ini.
Lebih 880,000 fail berkaitan CSAM berjaya dipulihkan, manakala 31 individu ditahan di 37 lokasi berasingan di seluruh negara.
Siasatan turut mengesahkan penggunaan perkhidmatan pemesejan, platform media sosial serta saluran web gelap bagi penyebaran CSAM, lengkap dengan transaksi pembayaran tanpa tunai.
Lebih merisaukan, penglibatan golongan remaja juga turut dikesan, sekali gus membuktikan bahawa pendedahan kepada persekitaran berisiko tinggi berlaku seawal usia muda.
Realiti ini menjadi peringatan keras bahawa jika sekatan awal gagal dilaksanakan, kanak-kanak akan terus menjadi mangsa dalam ekosistem digital yang semakin bebas dan sukar dikawal.
PENGESAHAN UMUR: BENTENG PENCEGAHAN PALING ASAS
Dalam mendepani cabaran ini, Kerajaan mengorak langkah penting dengan mengumumkan cadangan untuk menetapkan umur minimum 16 tahun bagi akses ke akaun media sosial, disokong oleh pelaksanaan mekanisme pengesahan umur dan identiti.
Langkah ini bukan sekadar kawalan teknikal, tetapi satu pendekatan pencegahan awal yang mampu mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berisiko tinggi.
Kanak-kanak bawah 16 tahun secara umumnya belum mempunyai kematangan psikologi yang cukup untuk menilai bahaya dunia digital. Tanpa sekatan jelas, mereka terdedah kepada manipulasi, eksploitasi dan kandungan berbahaya yang boleh merosakkan perkembangan emosi serta sosial.
Pengesahan umur yang berkesan mampu menghalang penciptaan akaun palsu oleh individu bawah umur, sekali gus mengehadkan akses ke ruang siber yang tidak sesuai. Ia juga mencerminkan kesungguhan negara dalam meletakkan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan, bukan sekadar slogan.
BAGAIMANA CSAM DISEMBUNYIKAN DAN MENGAPA PENGESANAN AWAL SANGAT PENTING
Modus operandi pengedaran CSAM kini semakin licik. Imej yang telah diubah suai, penggunaan akaun tanpa identiti serta kewujudan kumpulan persendirian menjadikan bahan ini sukar dikesan sebaik dimuat naik. Dalam banyak kes, kandungan berbahaya ini telah tersebar secara meluas sebelum berjaya dikenal pasti dan disekat.
Kelewatan walaupun hanya beberapa jam boleh mengakibatkan kemudaratan berulang kepada mangsa. Setiap perkongsian semula bermakna penderitaan mangsa terus dimanipulasi demi keuntungan pihak tidak bertanggungjawab. Sebab itulah sekatan awal dan pengesanan proaktif adalah benteng terpenting dalam memutuskan rantaian eksploitasi ini.
TANGGUNGJAWAB PLATFORM TIDAK BOLEH DIABAIKAN
Platform digital bukan lagi bersifat neutral. Mereka memegang peranan besar sebagai penjaga pintu (gatekeeper) kepada keselamatan ruang siber.
Pengesanan proaktif, penyingkiran segera dan amalan semakan kandungan yang konsisten merupakan tanggungjawab asas yang tidak boleh lagi dipersoalkan.
Pengguna juga mempunyai jangkaan yang munasabah bahawa setiap laporan berkaitan CSAM akan ditangani secara pantas, tegas dan telus. Kelemahan dalam penguatkuasaan bukan sahaja mencemarkan kepercayaan awam, malah memberi ruang kepada penjenayah untuk terus beroperasi tanpa halangan.
Hakikatnya, kawalan platform yang konsisten dapat mengurangkan risiko CSAM kekal boleh diakses dalam tempoh yang panjang. Ini sekaligus mengurangkan kemungkinan kanak-kanak lain menjadi mangsa baharu dalam rantaian eksploitasi yang sama.
KE ARAH EKOSISTEM DIGITAL YANG LEBIH SELAMAT
Perlindungan kanak-kanak dalam talian bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia menuntut kerjasama menyeluruh antara platform digital, agensi penguat kuasa, ibu bapa, pendidik serta masyarakat awam.
Langkah menetapkan had umur minimum, pengesahan identiti, sekatan awal terhadap bahan haram serta akauntabiliti platform adalah antara elemen penting yang mesti bergerak serentak.
Tanpa komitmen menyeluruh, usaha membanteras CSAM akan kekal sebagai tindakan reaktif, bukan penyelesaian jangka panjang.
Dalam dunia yang semakin digital, keselamatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi atas nama kebebasan teknologi. Mereka berhak menikmati manfaat teknologi dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan terlindung daripada sebarang bentuk eksploitasi.
Melindungi kanak-kanak bukan sekadar tanggungjawab moral — ia adalah kewajipan bersama. – SABAH MEDIA





