KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 menyaksikan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok politik terbesar selepas memenangi 29 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Pengerusi SPR Malaysia Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pertembungan kali ini berlangsung sengit apabila Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengekori rapat dengan 25 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh enam kerusi.
Selain itu katanya, Barisan Nasional (BN) memperoleh enam kerusi; Bebas sebanyak lima kerusi dan UPKO sebanyak tiga kerusi.
“Parti STARSabah berjaya memenangi dua kerusi dan Perikatan Nasional (PN); KDM dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing memenangi satu kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Persekutuan Sabah di sini pada Ahad.
Secara keseluruhan, 73 kerusi dipertandingkan, melengkapkan 100 peratus pembentukan DUN Sabah.
Sementara itu, Ramlan berkata, seramai 1,148,476 orang atau 64.35 peratus daripada jumlah pemilih berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Katanya, angka tersebut merangkumi pengundi biasa, pengundi awal serta pengundi pos.
“Keputusan penuh PRU ini akan disembah maklum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dalam satu sesi di Istana Seri Kinabalu pada pagi ini,” katanya. – SABAH MEDIA






