Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor tiba di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Gaya pada jam 11.57 malam, disambut sorakan penyokong yang melaungkan “Rumah kita, kita jaga, GRS menang-menang”.
Hajiji yang tampil dengan sut hitam lengkap bersongkok diiringi Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17, Hajiji mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, manakala Masidi mengekalkan kemenangan di DUN Karanaan dan Joniston terus mendapat mandat di DUN Kiulu.
Setakat jam 12 tengah malam, keputusan tidak rasmi menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendahului dengan 29 kerusi, diikuti Parti Warisan (Warisan) 23, Barisan Nasional (BN) 8, United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO) 3 dan calon Bebas 5.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh satu kerusi, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meraih dua kerusi.






