Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Belia Kota Belud semangat tunaikan hak mengundi


Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD: Kehadiran golongan muda di beberapa pusat mengundi di sini menyerlahkan keterlibatan aktif generasi belia dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17, terutama apabila jumlah mereka meningkat ketara menjelang tengah hari.

Di Sekolah Kebangsaan Taun Gusi, pengundi muda mula beratur panjang untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing menerusi saluran enam.

Suasana yang pada awalnya agak sunyi bertukar meriah sebaik sahaja kumpulan belia mula hadir dalam jumlah lebih besar.

Antara yang ditemui, Azizah Sabih, 25, berkata pengalaman mengundi buat pertama kali memberikan rasa bangga dan tanggungjawab yang besar.

“Saya gembira dapat pulang mengundi kali ini. Ramai rakan muda saya pun hadir hari ini, menunjukkan kami sama-sama mahu menyuarakan pilihan untuk masa depan kawasan ini,” katanya.

Adiknya, Aziella Sabih, 23, berharap pemimpin yang dipilih kelak mampu mendepani isu rakyat dengan lebih telus dan memberi fokus kepada pembangunan belia serta kemajuan masyarakat setempat.

Seorang lagi pengundi muda, Mohd Abd Rashid Abd Rahmat Sani, 22, turut menyatakan keterujaannya apabila akhirnya dapat pulang mengundi setelah tidak berpeluang berbuat demikian pada penggal lalu akibat sekatan pergerakan.

“Melihat kepada jumlah anak muda yang turun hari ini, saya yakin ramai daripada kami kini lebih sedar mengenai kepentingan memilih pemimpin yang akan membentuk hala tuju negeri,” katanya.

Tumpuan dan kehadiran tinggi pengundi muda hari ini memperlihatkan peningkatan tahap kesedaran belia terhadap proses demokrasi, menjadikan peranan mereka semakin signifikan dalam menentukan landskap politik Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE