Oleh Raul G
TUARAN: Pengundi diingatkan agar tidak memakai pakaian yang mempunyai logo mana-mana parti ketika hadir untuk mengundi di pusat pengundian masing-masing pada esok, 29 November.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata sekiranya dikesan ada pengundi yang berpakaian demikian, individu terbabit tidak dibenarkan memasuki ke pusat mengundi oleh petugas SPR.

“Pengundi akan dikehendaki untuk menukar pakaian sebelum dibenarkan mengundi di pusat mengundi masing-masing,
“Apa yang perlu dibawa oleh setiap pengundi, hanya kad pengenalan masing-masing selain terlebih dahulu mendapatkan maklumat nombor saluran mengundi,” katanya ditemui.

Ramlan berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan bagi Semakan Isi Peti Undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Seri Sulaman, Tuaran.
Menurutnya, pengundi juga digalakkan turun lebih awal dan merancang perjalanan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Mengikut ramalan kaji cuaca, kemungkinan hujan akan berlaku pada sebelah petang.
“Oleh demikian, pengundi digalakkan turun awal dan membawa baju hujan,” ujarnya.
Tambahnya, SPR mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghadapi sebarang insiden bencana dan akan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima oleh jawatankuasa peringkat daerah. – SABAH MEDIA






