Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

“Aku Tidak Curi Bah, Sial” – Tangisan Zara Qairina Malam Sebelum Tragedi – Sabah News

KOTA KINABALU, 30 September – Prosiding inkues kematian pelajar asrama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan remaja itu pernah meluahkan hasrat untuk terjun dari tingkat tiga kepada seorang rakannya.

Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang saksi kanak-kanak, memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi berkenaan pernah mendengar Zara berkata: “Bagaimana kalau saya terjun dari tingkat tiga? Kau sedihkah?”

Menurutnya, ketika itu hanya Zara dan saksi terbabit berada di hadapan bilik asrama sekitar April lalu.

Saksi menjelaskan, apabila ditanya mengapa arwah bercakap demikian, Zara hanya diam sambil memandang ke bawah dari koridor asrama dalam keadaan murung.

Ram berkata, saksi turut memaklumkan dia tidak pernah melihat Zara dibuli, diganggu atau dimarahi oleh pelajar lain, malah tidak pernah mendengar atau melihat mana-mana pelajar melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap arwah.

Saksi hanya mengetahui Zara mempunyai tabiat menulis diari pada waktu petang dan malam di bilik asrama, namun tidak pernah membaca isi kandungan diari tersebut.

Inkues juga diberitahu mengenai insiden malam 15 Julai lalu, beberapa jam sebelum kejadian menimpa Zara.

Menurut saksi, dia terdengar arwah dipanggil ke bilik sebelah oleh seorang pelajar senior berhubung kehilangan barang di asrama.

Selepas kembali ke bilik, Zara dilihat baring di lantai sambil menangis dan sempat menjerit “aku tidak curi bah, sial”.

Saksi berkata itu kali pertama Zara dipanggil berjumpa senior, dan selepas pertemuan tersebut, arwah kelihatan terganggu serta terus menangis di depan almari.

Sebelum itu, saksi tidak pernah melihat Zara menangis atau menunjukkan tanda-tanda tekanan.

Dalam keterangannya, saksi juga menyatakan Zara mempunyai tabiat tidur di atas permaidani sendiri di lantai bilik kerana malas memasang cadar katil.

Walaupun tinggal sebilik, hubungan mereka hanyalah sebagai kawan biasa.

Inkues kematian Zara Qairina kini memasuki keterangan saksi ke-16.

Mahkamah Koroner sedang meneliti sama ada terdapat unsur jenayah, tekanan emosi atau faktor lain yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan.

Prosiding akan bersambung pada tarikh ditetapkan.

LEAVE A RESPONSE