Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Pembangunan berterusan jadi pertaruhan utama GRS di Tanjung Batu


Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Isu pembangunan menjadi antara keutamaan yang diketengahkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal, yang menegaskan bahawa kesinambungan pentadbiran adalah kunci kemajuan kawasan itu.

Menurutnya, mandat baharu diperlukan bagi memastikan perancangan sedia ada tidak terhenti di tengah jalan dan setiap projek yang dirangka kerajaan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan politik.

“Tanjung Batu memerlukan kesinambungan. Banyak usaha yang telah bermula, sama ada untuk anak muda, usahawan kecil atau infrastruktur asas.

“Jika kerajaan stabil, semua ini boleh berjalan lancar,” katanya pada program grand finale kempen di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Batu, Datuk Saharuddin Salleh.

Dr. Andi berkata, sokongan yang diterima daripada pengundi muda sepanjang tempoh kempen menunjukkan generasi itu memahami pentingnya dasar jangka panjang yang dibawa GRS.

“Anak muda sangat peka. Mereka tahu pilihan mereka memberi kesan kepada peluang pekerjaan, pembangunan digital dan penyediaan fasiliti di kawasan ini,” katanya.

Mengulas suasana kempen yang turut disertai artis, beliau menjelaskan bahawa pendekatan itu bertujuan memberikan ruang kepada masyarakat untuk menikmati suasana lebih ceria setelah dua minggu melalui kempen politik yang padat.

“Ini cara kita mengurangkan tekanan dan mendekatkan pemimpin dengan rakyat dalam suasana mesra,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan baki dua hari sebelum pengundian akan dimanfaatkan untuk bertemu penduduk secara dekat bagi mendengar keperluan setempat serta menerangkan hala tuju pembangunan di bawah GRS.

“Saya percaya dengan rekod pentadbiran GRS yang cekap, kita mampu membawa Tanjung Batu ke tahap lebih baik.

“Saya merayu supaya pengundi memilih kesinambungan, bukan ketidakpastian,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE