Read Time:2 Minute, 43 Second
Oleh Raul G
TUARAN: Rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak memilih parti yang pernah gagal mentadbir Sabah, sebaliknya memilih kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah membuktikan prestasi baik dan memiliki keupayaan pentadbiran selama lima tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kewibawaan seorang pemimpin hanya dibuktikan melalui tindakan serta hasil kerja ketika diamanahkan sesuatu jawatan, bukannya melalui kenyataan tidak berasas.
“Nilai kejayaan mereka ketika mereka berkuasa dan buat pilihan berasaskan rekod sebenar, bukan terpedaya dengan retorik yang tidak berasaskan fakta pembangunan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran, di perkarangan Dewan Kebudayaan Bajau Samah di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; calon GRS DUN Tamparulli, Dr Bonaventure Boniface serta calon GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.
Hajiji yang juga calon DUN Sulaman, turut mengulas mengenai pembabitan kerajaan negeri yang diwakili beliau dalam rundingan dengan kerajaan Indonesia atas inisiatif Perdana Menteri yang membawanya dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, baru-baru ini.
“Satu lagi saya ingin kongsikan, apabila kita adakan rundingan dengan kerajaan Indonesia, Perdana Menteri jemput saya dan Premier Sarawak berjumpa Presiden Probowo di Jakarta.
“Ini urusan negara, tapi ada kaitan dengan Sabah dan soal sempadan Kalimantan, jadi Perdana Menteri jemput kita untuk menyatakan pendirian kita kepada Probowo.
“Tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini bukan urusan kita, ia urusan luar negara, jadi kita senang hati juga dibawa naik jet bersama Perdana Menteri ke Jakarta, mana ada Perdana Menteri begini sebelum ini.
“Perdana Menteri suruh saya bercakap kepada Probowo dan saya cakaplah, jadi hasilnya bagus. Inilah hasilnya apabila ada hubungan baik dengan persekutuan dan ia mesti dikekalkan,” katanya.
Atas sebab demikian, Hajiji berkata kerajaan GRS-PH yang mentadbir kerajaan neger8 sebelum ini harus dikekalkan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DUN) Sabah Ke-17, Sabtu ini.
“Jadi saya berharap kita mesti kekalkan kerajaan GRS – PH, yang lain itu pandai cakap saja, sikit-sikit mahu gaduh dengan federal. Apa mahu gaduh, kita mesti juga menjaga kepentingan negara.
“Jangan kita hanya fikir hak negeri, tapi negara kita runtuhkan, ada juga begitu di Sabah ini. Di Sabah ini ada macam-macam, malah 14 calon bertanding satu kerusi, itulah hebat Sabah ini.
“Ada yang tidak boleh menang pun jadi calon. Saya bukan menghina atau memperkecilkan rakan, tapi saya mahu beri ingatan jangan pilih mereka yang sudah diberi peluang mentadbir Sabah sebelum ini, mereka itu yang sebenarnya gagal,” katanya.
“Saya berharap rakyat di Sabah terutama di Tuaran jangan salah pilih kerajaan, pilihlah kerajaan yang dapat membawa kemajuan dan pembangunan kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Jangan pilih kerajaan yang sudah diberi peluang oleh rakyat Sabah dua tahun setengah, tapi mereka gagal mentadbir Sabah. Kerana itulah mereka ditolak pada pilihan raya lalu,” katanya.
Beliau menambah, kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tuaran kali kedua dalam tempoh setahun membuktikan keprihatinan luar biasa terhadap Sabah.
“Mana ada satu Perdana Menteri yang begitu kerap datang melawat Sabah. Inilah dia, Perdana Menteri yang begitu prihatin, yang begitu baik dengan Sabah, yang membantu negeri Sabah dalam pelbagai kemudahan termasuk memberi peruntukan yang begitu banyak kepada negeri Sabah,” ujarnya. – SABAH MEDIA






