Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tanah kerajaan diwarta sebagai rizab kampung selesai isu setinggan

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini sudah meluluskan mana-mana tanah milik Kerajaan di sekitar Kota Kinabalu untuk dijadikan sebagai rizab kampung.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia adalah sebagai langkah penyelesaian jangka panjang kepada isu penempatan setinggan yang membelenggu rakyat tempatan sejak sekian lama.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas mendengar sendiri keluhan serta rintihan rakyat yang disampaikan melalui pemimpin masyarakat terutama di kawasan Darau dan Karambunai.

“Jemaah Menteri Kerajaan Negeri telah membuat keputusan ini beberapa bulan lalu. Mana-mana tanah kerajaan di sekitar Kota Kinabalu akan kita wartakan sebagai rizab kampung yang tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga di perkarangan Masjid Al-Munir Darau di sini malam ini.

Hadir sama calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi dan DUN Karambunai Datuk Arshad Idris.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, tanah-tanah kerajaan itu akan diberikan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum diwartakan secara rasmi sebagai kawasan penempatan rakyat yang sebelum ini dianggap setinggan.

Katanya, penduduk terlibat akan dipindahkan ke kawasan yang mereka kehendaki melalui perancangan teratur kerajaan, khususnya di kawasan Karambunai dan Darau yang dikenal pasti sebagai lokasi utama penempatan baharu.

“Kita sedar masalah ini amat serius di pinggir Kota Kinabalu terutamanya di Karambunai dan Darau. Sebab itu kerajaan juga merancang untuk membina lebih banyak perumahan rakyat di kawasan ini,” jelasnya.

Tambah beliau, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) kini sedang giat mengusahakan proses pewartaan kawasan-kawasan yang sesuai sebagai rezab kampung supaya penduduk tidak lagi hidup dalam kebimbangan dihalau atau dipindahkan secara tiba-tiba.

“Apabila kawasan ini diwartakan sebagai rizab kampung, rakyat tidak perlu lagi takut kehilangan tempat tinggal.

“Ini adalah pembelaan Kerajaan GRS untuk anak-anak kita, khususnya generasi muda di Darau dan Karambunai,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa keputusan ini bukan janji baharu, sebaliknya telah diputuskan oleh kerajaan setelah melihat sendiri keseriusan masalah penempatan setinggan di sekitar Kota Kinabalu.

“Kerajaan GRS yang prihatin telah mengambil pendekatan berani dan kreatif demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE