Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Jangan politikkan kes Zara – Peguam


Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pasukan guaman ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memohon agar perhimpunan #JusticeForZara Rally 3.0 tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

Peguam Shahlan Jufri berkata pasukannya memahami sentimen masyarakat dan menghargai sokongan yang diberikan, namun meragui tujuan asal perhimpunan itu kerana ia dijadualkan pada minggu terakhir kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.

“Kami memahami sentimen masyarakat dan menghargai sokongan yang diberikan, namun prosiding inkues kini berada dalam fasa kritikal dengan saksi-saksi utama sedang memberi keterangan.

“Sebarang perhimpunan awam yang melibatkan elemen protes atau tekanan massa dibimbangi boleh ditafsirkan sebagai percubaan mempengaruhi prosiding, sekaligus menjejaskan persepsi terhadap kebebasan dan ketelitian Mahkamah,” katanya.

Shahlan berkata keutamaan mereka ketika ini ialah memastikan segala prosiding termasuk inkues dan kes jenayah yang sedang menuju tarikh bicara berjalan secara bebas daripada tekanan luar.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan agar sebarang aktiviti awam yang berkaitan kes ini hanya dilakukan selepas mendapatkan nasihat undang-undang dan dengan penuh berhati-hati.

“Pihak kami berharap perhimpuan tersebut tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik kerana ianya tindakan yang amat tidak wajar dan tidak matang serta tidak menghormati perasaan Ibu Zara dan ahli keluarga sekiranya ianya dikaitkan dengan mana-mana parti politik,” katanya.

Menurut Shahlan lagi, pasukannya mendapati terdapat seorang ahli politik daripada sebuah parti politik Semenanjung yang berkempen di Sabah telah mengeluarkan kenyataan di media sosial yang bersifat menghina mahkamah (contempt).

“Seperti yang sedia maklum, prosiding hina mahkamah terhadap dua orang individu yang mana individu tersebut adalah terdiri daripada tokoh politik tempatan dan pempengaruh telah dijadualkan pada hari Isnin 1 Disember 2025.

“Selain daripada dua individu itu, pihak kami juga mendapati seorang ahli politik dari Semenanjung telah membuat kenyataan bersifat menghina mahkamah di media sosial. Pasukan guaman kini sedang meneliti kenyataan-kenyataan tersebut dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak sekiranya ia menjejaskan hak keluarga atau merosakkan integriti prosiding mahkamah.

“Kami menyeru semua pihak, khususnya tokoh politik dan pengguna media sosial, untuk menghormati proses undang-undang dan mengelakkan retorik yang boleh memberi kesan negatif terhadap prosiding mahkamah,” katanya.

Pasukan guaman turut mengingatkan bahawa inkues Zara adalah prosiding mahkamah yang masih berjalan dan kenyataan-kenyataan yang bersifat spekulatif, menuduh pihak tertentu tanpa asas, atau cuba menggambarkan dapatan awal yang belum diputuskan mahkamah boleh dianggap sub judice dan boleh mengganggu proses keadilan.

“Hormatilah perasaan Ibu Zara dan ahli keluarga Zara yang akan menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tanpa Zara,” katanya sambil berharap semua calon-calon berkempenlah secara berhemah.

Mengenai permohonan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantalkan inkues, Shahlan berkata, mereka berharap permohonan itu akan ditolak.

“Pihak kami tidak mahu mengulas mengenai alasan atau isu undang-undang.

“Tapi kami percaya inkues yang berjalan sejak hari pertama hingga kini mengikut undang-undang yang sedia ada, bukannya mengikut suka hati pihak mahkamah atau pihak-pihak lain. Ia mengikut peruntukan undang-undang yang sah.

“Perlu diingatkan permohonan tersebut tidak pernah mendapat kebenaran atau restu daripada Ibu Zara, yang merupakan pihak berkepentingan utama dalam inkues ini. Pihak tersebut tidak pernah meminta kebenaran, sama sekali,” katanya.

LEAVE A RESPONSE