Read Time:1 Minute, 54 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Peratusan undi awal yang tinggi sehingga mencecah lebih 90 peratus pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah) semalam, menjadi petunjuk jelas bahawa rakyat kini semakin sedar tentang kepentingan hak mereka dalam menentukan hala tuju negeri ini.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peningkatan jumlah anggota keselamatan dan pasangan mereka keluar mengundi menunjukkan peningkatan tahap kesedaran untuk memilih kerajaan stabil dan berupaya menjamin masa depan Sabah.

“Alhamdulillah kerana undi awal mencapai 90 peratus. Ini bukti mereka yang mempunyai hak mengundi sudah cakna dan ingin menggunakan kuasa itu untuk memilih kerajaan terbaik demi membawa Sabah lebih maju dan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ceramah Perdana di Kampung Inderasabah, malam tadi.
Semalam, proses undi awal melibatkan sebanyak 58 pusat mengundi awal di seluruh Sabah dibuka pukul 8 pagi hingga 5 petang, dengan 8,347 anggota tentera dan pasangan, serta 10,696 anggota polis dan PGA serta pasangan layak mengundi.
Daripada jumlah itu, 17,615 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka, menjadikan peratusan kehadiran undi awal antara yang tertinggi pernah direkodkan di Sabah.
Mengulas lanjut, Nizam berharap trend positif itu dapat diteruskan oleh pengundi biasa pada hari pengundian, Sabtu ini.
“Pengundi biasa selalunya kurang daripada 70 peratus. Saya berharap pada 29 November nanti peratusan itu dapat ditingkatkan melebihi 70 peratus, kerana pilihan raya ini menentukan masa depan Sabah,” ujarnya.

Menurut beliau, majoriti rakyat kini menyedari bahawa satu-satunya jalan memastikan pembangunan terjamin adalah melalui kerajaan yang stabil.
“Kerajaan stabil itu telah ditunjukkan melalui pentadbiran GRS-PH. Rekod itu menjelaskan kemampuan kami mentadbir dengan baik,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai sokongan kuat masyarakat Inderasabah terhadap GRS, Nizam berkata, hubungan eratnya dengan penduduk tempatan sejak sekian lama menjadi asas kepercayaan tersebut.
“Saya turun hampir setiap bulan menyantuni masyarakat di sini, sebelum dan selepas menjadi wakil rakyat. Sumbangan Almarhum abang saya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan juga banyak membina keyakinan penduduk terhadap keluarga kami untuk terus berkhidmat,” jelasnya.
Nizam turut mengingatkan pengundi agar membuat pilihan bijak dengan tidak terpedaya kepada pemimpin yang hanya mahir berretorik.
“Jangan sia-siakan undi dengan memilih mereka yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab. Pilih pemimpin yang dekat dengan rakyat, kurang bercakap tetapi banyak bekerja,” katanya. – SABAH MEDIA






