Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Sudah tiba masa Tungku dibangunkan semula selepas lapan tahun ketinggalan – Hakim

Read Time:1 Minute, 16 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan bertekad mahu membangunkan semula kawasan itu setelah ketinggalan dari arus pembangunan di bawah pembangkang.

Katanya, dalam tempoh lapan tahun di bawah wakil rakyat pembangkang,  selain arus pembangunan yang ketinggalan, aspek kebajikan masyarakat juga tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Saya mohon diberi peluang untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan Tungku ini.

“Kerana kita tahu sejak lapan tahun kebelakangan ini, apabila kawasan ini memilih wakil rakyat daripada pembangkang, maka kita jauh ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) pada Isnin di Pusat Konvensyen Antabangsa Sabah (SICC) di sini.

Manifesto itu dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Hakim turut menzahirkan rasa syukur atas pencalonan sebagai calon mewakili GRS di kerusi DUN Tungku.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan khususnya presiden parti atas kepercayaan beliau meletakkan saya sebagai calon di kawasan Tungku dan saya juga mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada seluruh jentera di bahagian Tungku.

“Sebaik sahaja selepas penamaan calon, saya melihat semua jentera bersemangat untuk bekerja di kawasan di peringkat akar umbi. Saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih dan saya mohon diberi peluang untuk saya menabur khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan Tungku ini,” katanya.

Pada PRU Sabah kali ini, Hakim akan berdepan enam pencabar lain termasuk penyandang kerusi itu Assafal P.Alian. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE