Read Time:1 Minute, 6 Second
KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan dan Sabah menegaskan komitmen bersama untuk meneruskan rundingan semakan Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia Datuk Johan Mahmood Merican dalam kenyataan bersama berkata, kedua-dua pihak sepakat bahawa rundingan itu menandakan satu permulaan yang konstruktif, progresif dan berkesan dalam usaha mencari penyelesaian menyeluruh berhubung tuntutan hak kewangan Sabah.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri turut menekankan bahawa perbincangan akan dilaksanakan berlandaskan semangat kerjasama, saling menghormati dan persefahaman.
“Ini termasuk perkongsian data serta maklumat kewangan yang diperlukan bagi memastikan proses semakan dapat disempurnakan dengan telus.
“Kedua-dua pihak yakin bahawa mesyuarat ini merupakan landasan kukuh ke arah mencapai penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan memastikan pelaksanaan Perlembagaan berada pada landasan yang betul,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan dan pada Isnin mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas di peringkat pegawai berhubung kajian semula nilai Pemberian Khas Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berikutan dengan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Rundingan ini sekali lagi mengukuhkan komitmen bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk memastikan hak dan keperluan negeri itu dipertimbangkan secara adil berasaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – SABAH MEDIA






