Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Jawatankuasa khas Persekutuan-Sabah ditubuhkan laksanakan tuntutan 40 peratus hasil negeri

Read Time:1 Minute, 53 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU : Sebuah jawatankuasa khas melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditubuhkan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63), berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata jawatankuasa khas berkenaan akan melapor kepada JKTMPMA63, namun turut dibenarkan melapor terus kepada Jemaah Menteri berhubung perkembangan perbincangan serta mekanisme yang dicadangkan.

“Tempoh masa untuk kita membincangkan pelaksanaan ini amat singkat. Rundingan bermula hari ini dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, dan jika boleh saya mahu mereka memperincikan terus mekanisme pelaksanaannya.

“Saya menunggu laporan dan hasil perbincangan mereka. Yang penting, jawatankuasa ini ditubuhkan dan dapat mengemukakan cadangan kepada kerajaan… kita tunggu laporan penuh nanti,” katanya kepada pemberita di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Terdahulu Fadillah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu hari ini, yang turut dihadiri Safar, Johan, dan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh. 

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan di negeri ini hampir empat dekad.

Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Fadillah berkata setelah ditubuhkan, jawatankuasa khas itu akan membincangkan skop tugas dan tanggungjawab pelaksanaan tuntutan tersebut serta perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri baharu selepas PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov.

“Kerajaan Persekutuan sudah membuat keputusan untuk tidak merayu terhadap tuntutan 40 peratus ini. Oleh itu, keputusan Kabinet Persekutuan adalah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri. Disebabkan masa ini hanya terdapat caretaker government, adalah lebih penting untuk berjumpa dahulu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan 25 Nov bagi pengundian awal.

Untuk berita-berita terkini mengenai PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.- BERNAMA / FOTO FB TPM FADILLAH YUSOF

LEAVE A RESPONSE