Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Gagasan Rakyat Sukau nafi dakwaan 2,000 ahli keluar parti, hanya 10 orang terlibat

Read Time:1 Minute, 4 Second

SUKAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau menafikan dakwaan kononnya lebih 2,000 ahli parti keluar bersama bekas Ketua Pergerakan Wanita bahagian itu, Dayang Norhayati Titing.

Setiausaha Gagasan Rakyat Bahagian Sukau, Emerson Dawang berkata, pihaknya menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar, tidak berasas dan fitnah politik.

Katanya, hasil pengesahan dalaman parti mendapati jumlah sebenar ahli yang keluar hanyalah tidak melebihi 10 orang.

“Sebahagian daripada mereka adalah ahli baharu yang sebelum ini menyertai Parti Warisan sebelum menyertai Parti Barisan Nasional.

“Selain itu, Norhayati telah lama tidak aktif dalam aktiviti parti di peringkat bahagian, dan cawangan yang dipimpinnya juga berstatus tidak aktif.

“Oleh itu, dakwaan beliau bahawa 2,000 ahli keluar parti dianggap sebagai provokasi politik yang cuba menimbulkan persepsi palsu bahawa Gagasan Rakyat Sukau sedang menghadapi krisis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Emerson berkata, Gagasan Rakyat Bahagian Sukau menegaskan bahawa parti tetap kukuh, tersusun dan terus berkembang, dengan kemasukan ahli baharu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, jentera parti di kawasan Sukau berada dalam keadaan bersiap siaga untuk memperkukuh gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Kami menolak sebarang percubaan pihak tertentu mencemarkan imej parti dengan maklumat palsu. PGRS Sukau kekal fokus dan bersiap sedia untuk terus memajukan parti serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO FB Juhari Janan

LEAVE A RESPONSE