Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah bukan medan bermusuh, fokus selesai isu rakyat – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 38 Second

TENOM : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17 bukan medan perbalahan atau pertarungan emosi, sebaliknya peluang memilih sebuah kerajaan yang benar-benar mampu menyelesaikan isu asas rakyat.

Berucap dalam Program Rahmah Mesra YAB PM Sayang Sabah bersama pimpinan masyarakat DUN Melalap hari ini, beliau berkata pembangunan Sabah memerlukan kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, bukannya retorik politik yang menimbulkan perpecahan.

“Pilihan raya bukan pesta… bukan untuk perang atau marah-marah. Kita pilih kerajaan yang boleh buat kerja, bukan yang hanya pandai janji,” katanya.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa banyak masalah di Sabah – khususnya bekalan air dan sambungan elektrik luar bandar – merupakan isu berlarutan yang diwarisi sejak sekian lama.

“Betul, air belum selesai. Elektrik belum selesai. Tetapi ini semua kita warisi. Kerajaan sekarang sedang selesaikan, bukan tambah masalah,” ujarnya.

Bagi mempercepatkan penyelesaian masalah utiliti itu, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan tambahan RM1.2 bilion kepada Sabah.

Mengulas mengenai tuntutan hak 40 peratus hasil negeri, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak mempersoalkan hak tersebut, sebaliknya hanya membuat rayuan terhadap alasan teknikal yang diputuskan mahkamah.

“Kita tidak merayu 40 peratus. Kita hanya rayu bahagian alasan hakim yang tidak tepat. Hak Sabah tetap hak Sabah,” katanya.

Jawatankuasa Teknikal bersama Kementerian Kewangan dijadualkan bermesyuarat bagi merangka kaedah pelaksanaan mengikut keputusan Mahkamah Tinggi.

Kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi memulihkan dan mempercepatkan pembinaan jalan-jalan utama di Sabah dan Sarawak yang terbantut sejak lebih satu dekad.

“Sarawak hampir siap. Sabah ketinggalan kerana projek lama lambat jalan. Kita percepatkan sekarang,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menolak politik perpecahan berasaskan kaum, sambil memuji keharmonian masyarakat Sabah yang menjadi contoh di Malaysia.

“Untuk apa Melayu gaduh dengan Melayu? Melayu gaduh dengan Cina? Kita semua rakyat Malaysia. Sabah aman sebab semua hidup bersama,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bantuan seperti Sumbangan Dapur Rahmah (SDR) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah, termasuk masyarakat di pedalaman. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE