Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU : Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan mengamalkan langkah pencegahan khususnya sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pilihan raya secara umumnya sering melibatkan perhimpunan orang ramai dan agihan makanan yang akan berlaku sepanjang tempoh berkempen, pada dan selepas hari pengundian.
Menurut JKNS, situasi itu boleh meningkatkan risiko penularan penyakit berjangkit seperti penyakit sebaran udara atau penyakit bawaan makanan dan air.
“Justeru, individu yang bergejala dinasihatkan untuk berehat di rumah dan mengelakkan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang tempoh kempen.
“Pemakaian pelitup muka amat digalakkan kepada petugas pilihan raya dan semua pengundi terutamanya bagi yang bergejala atau ketika berada di tempat tertutup, sempit dan sesak.
“Selain itu, orang ramai turut digalakkan untuk mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman serta memastikan kebersihan persekitaran terjaga,” menurut kenyataan itu di sini.
JKNS turut menasihati orang ramai agar patuh kepada cadangan masa mengundi yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat pengundian.
Selain itu, orang ramai turut digalakkan untuk mendapatkan vaksin Influenza bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan influenza semasa, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi.
“Pengendalian dan penyediaan makanan dan minuman perlu mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain orang ramai dinasihatkan supaya memastikan makanan / minuman yang dimakan / minum dimasak dengan sempurna dan dalam keadaan yang baik,” tambah kenyataan itu di sini pada Sabtu.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi kawasan larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Kerjasama semua pihak termasuk individu dan masyarakat dalam bersama-sama menangani penularan penyakit berjangkit dan pematuhan peraturan-peraturan lain yang berkait adalah sangat dihargai. JKNS sentiasa memantau situasi semasa penularan penyakit berjangkit selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum. – SABAH MEDIA






