Read Time:1 Minute, 38 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Seramai 20 orang usahawan bimbingan Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) menerima geran Innopack dari Ko-Nelayan dan pembungkusan Tanggungjawab Sosial Korporat SIRIM Berhad.
Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan, dan Industri Makanan Sabah Datuk Leonard Stephen Poyong berkata, jumlah tajaan untuk kedua- dua program itu adalah berjumlah RM220,000.
Katanya, ia merupakan satu jumlah yang besar dan menyeru agar semua usahawan yang terlibat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada para penerima.
“Gunakan ilmu dan bimbingan yang diberikan oleh Ko-Nelayan dan SIRIM Berhad untuk menambah baik kualiti produk, memperkukuhkan penjenamaan (branding) dan menembusi pasaran yang lebih luas.

“Pihak Kementerian sentiasa menyokong usaha- usaha seperti ini kerana ia bukan sahaja memperkasakan sosio-ekonomi usahawan tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sabah.
“Pembungkusan yang inovatif menjadikan produk tersebut lebih mudah menembusi pasaran dan peluang eksport akan lebih terbuka luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Penjenamaan dan Reka Bentuk Pembungkusan Produk (Innopack) Ko-Nelayan dan CSR Sirim Berhad kepada Usahawan B-40 Ko-Nelayan di sini.
Hadir sama Pengurus Besar Ko-Nelayan Yusof Ag Besar.
Leonard berkata, Kerajaan menghargai usaha Ko-Nelayan dan SIRIM Berhad dalam melaksanakan program Innopack yang memberi kesan positif kepada pembangunan usahawan di Negeri Sabah.
Katanya, kerajaan berharap agar lebih banyak program seperti Innopack dapat dilaksanakan pada masa akan datang.
Menurutnya, pendekatan Ko-Nelayan dan SIRIM Berhad yang menggabungkan inovasi dan bimbingan professional amat berkesan dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berinovasi.
“Dalam Rancangan Malaysia ke-13, sejumlah RM1.3 juta peruntukan telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan Program Innopack dalam tempoh 2026-2030.
“Kerajaan juga akan terus menyokong dan menggalakkan lebih banyak kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan institusi tempatan agar manfaat program seperti Innopack dapat dirasai oleh lebih ramai usahawan di Negeri Sabah.
“Di samping itu, jaringan atau networking antara kerajaan, badan berkanun, pemain industri, institusi dan komuniti dapat diperkukuhkan,” katanya. – SABAH MEDIA






