Read Time:1 Minute, 10 Second
Oleh Rhea Dharmin
BEAUFORT: Calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berazam untuk meneruskan visi dan misi membangunkan kawasan Kuala Penyu sekiranya diberi mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN).
Katanya, visi dan misi terbabit berpaksikan kepada slogan ‘Aspirasi Menuju Transformasi’ yang diperkenalkannya sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada tahun 2013.
Disamping itu, katanya kerajaan negeri juga telah merangka agenda pembangunan Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.
“Pelan pembangunan ini adalah komitmen jangka panjang kita membawa kemajuan bagi kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penamaan calon bertempat di Dewan Pa Musa, di sini, hari ini.
Dalam PRN kali ini, Limus bakal berdepan dengan lima calon lain iaitu Ginsik @ Annie Ginsik (PIS), Dr Monih Epin (WARISAN), Datuk Awang Aslee Lakat (BN-UMNO), Walther Philip Michael (STARSABAH) dan Jonehtan Matheus (PKS).
Dalam pada itu, Limus menzahirkan penghargaan kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya.
Menurutnya, pencalonan beliau mempertahankan kerusi itu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang akan digalas dengan sebaik mungkin.
“Saya komited untuk meneruskan visi dan misi memajukan daerah ini dalam semua aspek termasuk prasarana, pendidikan, pelancongan dan sebagainya,” katanya.
Pada PRN tahun 2020, Limus memenangi kerusi DUN Kuala Penyu dengan majoriti sebanyak 3,273 undi.






