Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS mampu tawan kerusi DUN Sukau

Read Time:1 Minute, 22 Second

KINABATANGAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau mampu ditawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN) pada 29 November ini kerana komitmen berterusan GRS menyelesaikan isu rakyat.

Calon GRS, Datuk Juhari Janan berkata, beliau yakin keputusan PRN nanti berpihak kepada GRS di kerusi itu juga disebabkan pengundi semakin matang dalam menilai calon yang benar-benar bekerja dan dekat dengan mereka.

Katanya, setiap calon mempunyai strategi dan usaha masing-masing untuk menawan hati rakyat, namun faktor utama kemenangan tetap bergantung kepada rekod kehadiran, kerja di lapangan dan keprihatinan terhadap isu setempat.

“Rakyat akan memilih siapa yang selalu turun padang, ambil tahu keadaan masyarakat dan peduli nasib rakyat.

“Mereka tidak melihat janji semata-mata, tetapi siapa yang benar-benar bekerja,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini, hari ini.

Juhari berkata, kawasan Sukau selama ini memiliki cabaran tersendiri, namun GRS telah menunjukkan komitmen berterusan dalam menangani keperluan rakyat, termasuk isu asas seperti air bersih, jalan raya dan kemudahan ekonomi.

Jelasnya lagi, setiap parti pasti berusaha memenangi kerusi tersebut, namun GRS sudah mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan sokongan rakyat di Sukau terus kekal.

“Kami di Sukau ada strategi kami sendiri untuk menawan hati rakyat. Bukan sekadar manifesto, tetapi perancangan kerja yang sudah berjalan,” katanya.

Pada PRN17, Juhari akan dicabar Datuk Jafry Ariffin dari Barisan Nasional (BN), Pengiran Petra Pengiran Asri dari Perikatan Nasional (PN), Azahari Rangon (WARISAN), Roslan Madali dari Parti Impian Sabah (PIS) dan Afiq Anwari Zulkifli dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Nordin Damit dari Perjuangan Rakyat (PR).

Penyandang kerusi itu adalah Jafry yang memenangi kerusi pada PRN16 dengan majoriti 2,129 undi.

LEAVE A RESPONSE