Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Calon termuda DAP Sabah Chan Loong Wei mahu teruskan legasi Phoong di Luyang

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Calon termuda DAP Sabah, Chan Loong Wei @ Desmond, 25, berhasrat meneruskan legasi dan kerja-kerja Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, khususnya di Luyang yang disifatkannya banyak berubah sejak 2018.

Ketua Dapsy Sabah yang juga calon DUN Luyang itu berkata, perubahan pembangunan fizikal di kawasan berkenaan serta budaya kerja wakil rakyat muda menjadi inspirasi utama beliau menyertai politik.

Beliau menyertai DAP pada 2019, sejurus selepas menamatkan sekolah menengah, dengan penglibatan pertama dalam kempen Pilihan Raya Kecil Sandakan.

“Saya lihat bagaimana DAP dan wakil rakyat muda seperti YB Vivian Wong ketika itu menawarkan harapan baharu melalui kepimpinan dinamik dan turun padang. Itu budaya kerja yang berbeza dan sangat menginspirasikan,” katanya selepas kepada media selepas pengumuman calon di Dewan Menara Hasil, di sini, pada Sabtu.

Mengulas perubahan di Luyang, Desmond menjelaskan bahawa penduduk pasti masih mengingati keadaan sebelum 2018 apabila tidak banyak taman rekreasi moden atau gelanggang bola keranjang.

“Dulu nak main bola perlu sewa tempat. Selepas wakil rakyat muda (Phoong) dipilih, banyak pembaharuan dibawa ke kawasan itu. Perubahan itulah yang mendorong saya terlibat secara aktif,” katanya.

Mengulas persepsi bahawa calon muda kurang pengalaman dalam politik, beliau mahu membuktikan sebaliknya.

“Saya nak jadi bukti bahawa anak muda boleh membangun dan memberi inspirasi kepada orang lain. Negara dan negeri ini besar, dan kita perlukan lebih ramai anak muda. Saya mahu buktikan bahawa anak muda bukan saja boleh menyumbang, malah boleh memimpin,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pasukan sokongan anak muda yang kukuh dalam memastikan keberkesanan seorang wakil rakyat.

“Di Sabah, YB hanya 73 orang, tetapi tanpa pasukan yang kompeten dan akar umbi yang aktif, tiada apa yang boleh disampaikan dengan berkesan,” katanya.

Beliau juga menolak politik serangan dan memilih pendekatan lebih matang dalam kempen.

“Budaya kita bukan untuk serang sana sini. Sebagai anak muda, saya mahu membuktikan politik boleh membawa perubahan dan menawarkan harapan, bukan sekadar serangan. Saya tidak berminat menyerang sesiapa pun, kecuali jika ada tuduhan jahat yang perlu dijelaskan,” katanya.

Desmond telah menamatkan pengajian Diploma Pengajian Perniagaan (Kewangan dan Pelaburan) dengan Kepujian dari Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) Kuala Lumpur (2019-2021).

Dalam politik, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah (2019–2020), Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah (2020–2023), Setiausaha DAPSY Sabah (2023–2025) dan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (2023–2025) dan kini sebagai Ketua Dapsy Sabah.

LEAVE A RESPONSE