Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pertembungan komponen parti kerajaan bukan tanda keretakan – Phoong

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Pertembungan antara parti kerajaan di kerusi Kemabong dan Moyog tidak menjejaskan hubungan dalam gabungan parti, kata Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Menjawab soalan mengenai pertandingan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di dua kawasan berkenaan, Phoong berpendapat bahawa situasi itu bukan tanda keretakan hubungan antara PH, GRS dan Barisan Nasional (BN).

“Landskap politik Sabah pada era ini jauh berbeza daripada sistem dua blok, sekali gus menjadikan pertandingan sesama parti mesra sebagai perkara biasa. Ini bukan isu perhubungan retak atau tidak. Ini demokrasi.

“Setiap parti ada keyakinan sendiri, ada calon yang mereka percaya dan ada rekod prestasi yang mahu mereka tawarkan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman Penamaan calon di Dewan Menara Hasil, di sini, hari ini.

Menurutnya, tumpuan utama bagi mana-mana parti adalah menawarkan calon terbaik kepada rakyat, bukan bergantung kepada formula ‘satu lawan satu’ seperti politik lama.

“Pertandingan ini bukan soal ‘friendly match’ atau tidak. Ini pertandingan idea. Rakyat akan pilih calon yang paling berkualiti, paling kompeten dan paling berwibawa,” katanya.

Sementara itu beliau menjelaskan pencalonan beliau di kerusi DUN Likas dan calon muda parti itu, Chan Loong Wei @Desmond di DUN Luyang, membentuk satu pasukan yang kukuh dan dinamik untuk menghadapi PRU DU Sabah.

Menurut Phoong, strategi mereka adalah gabungan tenaga dan sumber untuk memberi impak lebih besar kepada rakyat, dengan konsep “satu tambah satu lebih daripada dua”.

Beliau menekankan bahawa kemenangan bukan sekadar tentang calon individu, tetapi hasil daripada kerjasama dan dedikasi satu pasukan yang komited untuk berkhidmat.

Phong berkata, beliau memindahkan fokusnya ke Likas bagi memberi peluang kepada calon muda seperti Desmond, selaras dengan kehendak rakyat Sabah yang menginginkan wakil rakyat yang kompeten, bersih, dan berkaliber.

Desmond, yang merupakan calon Gen-Z, berkhidmat di pusat khidmat Phong selama dua tahun dan dilantik sebagai setiausaha politik selama tiga tahun, terlibat secara langsung dalam pengurusan polisi dan pelaksanaan projek di kawasan itu.

“Desmond telah mengikuti setiap proses dengan teliti dan saya yakin beliau adalah seorang yang berkaliber, muda, dinamik, bersemangat, dan yang paling penting, ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Phong.

Beliau menegaskan bahawa pasukan mereka mencerminkan demografi Sabah, di mana 53 peratus pengundi berumur 40 tahun ke bawah. Pasukan Phoong dan Desmond bersedia menawarkan harapan baru dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Likas dan Luyang.

LEAVE A RESPONSE