Read Time:1 Minute, 36 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi menyatakan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh pembangunan komuniti dan ekonomi di kawasan itu.
Katanya, antara usaha utama yang diperkenalkan adalah penubuhan Majlis Pengurusan Kampung yang turut melibatkan pengurusan taman-taman awam.
Menurutnya, majlis ini dijangka akan meningkatkan keberkesanan komunikasi antara penduduk, kepimpinan kampung, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Yang paling penting, kita akan susun segala aktiviti secara teliti dan telus. Mesyuarat akan diadakan secara berkala dan prestasi majlis ini akan dipantau melalui KPI yang ditetapkan oleh saya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon bagi DUN Darau di Dewan Maksak di sini pagi tadi.
Razali berkata, pembangunan belia juga menjadi tumpuan utama Dimana setiap kampung di Darau dijangka akan mempunyai pusat belia tersendiri bagi memberi ruang kepada golongan muda menyalurkan bakat, idea dan aktiviti sosial yang bermanfaat.
Dari segi ekonomi, beliau menekankan kepentingan kursus keusahawanan bagi belia yang bertujuan membimbing generasi muda dalam membina kemahiran perniagaan dan memperkukuh ekonomi setempat.
“Dua perkara ini – pembangunan komuniti melalui majlis kampung dan pemberdayaan belia melalui pusat serta kursus keusahawanan – adalah fokus utama kita.
“Dengan usaha ini, kita berharap Darau akan terus maju dan harmoni,” katanya.
Terdahulu, beliau diiringi hampir lebih 2,000 penyokong yang turun memberi sokongan kepada kepada beliau sejurus proses penamaan calon PRU Sabah Ke-17 selesai berlangsung.
Kehadiran itu menggambarkan penantian dan kesetiaan penyokong yang telah menunggu selama tiga tahun untuk melihat Razali menjadi calon rasmi di Darau.
Razali menyatakan rasa syukur atas kelancaran proses tersebut dan memuji kerja teratur Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau menegaskan bahawa pertandingan enam penjuru tidak menggugat keyakinan GRS kerana strategi perjuangan telah dirangka dan dilaksanakan secara berterusan sejak tiga tahun lalu.
“Apa yang kamu lihat hari ini hanya 10 peratus daripada penyokong sebenar. Kami sangat yakin bahawa pada 29 haribulan nanti, GRS akan mencapai kemenangan,” katanya. – SABAH MEDIA






