Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Keyakinan pengundi menjadi kekuatan pertahankan kerusi – Nizam

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan cabaran terbesar sepanjang kempen kali ini datang daripada parti-parti yang pernah beliau wakili sebelum ini dan kini cuba menanam persepsi seolah-olah kerusi Apas “milik” mereka.

Menurut Nizam, naratif sedemikian tidak menggambarkan realiti sebenar kerana mandat berada sepenuhnya di tangan pengundi.

“Sehingga hari ini, masih ada pihak yang memberi persepsi kepada rakyat bahawa Apas bukan milik GRS. Tapi saya yakin dengan kebijaksanaan pengundi-pengundi di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nizam berkata, keyakinan itu hadir kerana hubungan rapat yang telah terjalin antara beliau dan masyarakat Apas sepanjang dua penggal menjadi wakil rakyat.

“Saya bukan wakil rakyat yang muncul lima tahun sekali. Sejak diberi amanah, saya sentiasa turun padang membantu menyelesaikan urusan dan masalah rakyat. Ada yang menganggap saya seperti anak, ada yang sebaya menganggap saya saudara. Mereka merujuk saya ketika susah dan senang,” katanya.

Mengulas tentang kekuatan sebagai penyandang dua penggal, Nizam berkata, penerimaan masyarakat yang dapat dirasai melalui bahasa tubuh ketika bertemu pengundi memberikan indikator positif untuk mempertahankan DUN Apas.

Namun beliau menegaskan bahawa keyakinan itu bukan alasan untuk berasa selesa.

“Saya tidak boleh leka. Saya akan terus bekerja, malah bekerja lebih kuat kerana masih banyak keperluan rakyat yang perlu ditambah baik,” ujarnya.

Nizam turut mengakui bahawa landskap politik Sabah yang tidak stabil pada tahun-tahun sebelumnya termasuk perubahan kerajaan secara mendadak sedikit sebanyak menjejaskan perancangan pembangunan di Apas.

Bagaimanapun, beliau melihat kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan selepas Langkah Kinabalu membuka ruang kepada Sabah menikmati kestabilan politik yang lebih kukuh.

“Bila kestabilan itu wujud, ekonomi meningkat, keyakinan pelabur semakin tinggi, bantuan kepada rakyat bertambah. Ini bukan retorik, tetapi sesuatu yang nyata,” katanya.

Mengulas harapan kepada pengundi, Nizam menekankan keperluan memilih pemimpin berdasarkan keikhlasan dan kemampuan membantu rakyat bukan semata-mata faktor usia, pengaruh keluarga, atau kemampuan kewangan.

Namun beliau tidak menafikan bahawa legasi keluarga Titingan di Tawau menjadi sebahagian daripada kekuatan sokongan masyarakat setempat.

“Keluarga Abu Bakar Titingan banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Tawau, dalam politik dan sektor profesional. Ada kampung yang dinamakan Kampung Titingan kerana menghargai jasa keluarga kami,” jelasnya.

Nizam berharap rakyat terus memberi kepercayaan kepada beliau untuk meneruskan agenda pembangunan Tawau.

“Kami tidak pernah merosakkan kepercayaan rakyat. Kami sentiasa berusaha memberi yang terbaik demi membangunkan Tawau menjadi tempat yang maju, harmoni dan sejahtera serta mampu menarik lebih ramai orang luar datang ke sini,” katanya.

Nizam kini mempertahankan kerusi DUN Apas sebagai calon GRS dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

LEAVE A RESPONSE