Read Time:1 Minute, 27 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Inklusiviti yang berteraskan pengiktirafan terhadap kemampuan setiap individu menjadi fokus sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia 2025 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Auditorium Pascasiswazah universiti itu pada Khamis (13 Nov).

Majlis bertema “Ke Arah Masa Depan Inklusif: Memperkasa Hak, Pendidikan dan Kerjaya Orang Kurang Upaya” itu dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor, dengan kehadiran seramai 261 peserta daripada pelbagai agensi.

Program berprestij itu diterajui oleh Mahasiswa Orang Kurang Upaya (fizikal) selaku Pengarah Program, Dr Fatimah Sabrina Mohammad, pelajar Doktor Falsafah dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan sokongan mahasiswa OKU serta buddies OKU yang menjadi tulang belakang keseluruhan penganjuran.
Dalam ucapannya, Dr Sabrina menegaskan bahawa golongan OKU tidak seharusnya dilihat sebagai kelompok yang memerlukan simpati, sebaliknya sebagai aset penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan kepimpinan negara.
Katanya, potensi komuniti OKU lebih menyerlah apabila diberikan akses, kefahaman dan peluang yang adil.
Beliau turut berkongsi perjalanan peribadi sebagai wanita dan pelajar berstatus OKU yang menjadikan cabaran sebagai kekuatan, sambil menekankan bahawa inklusiviti adalah satu bentuk pengiktirafan, bukan belas kasihan.
Menurutnya, asas inklusiviti bermula apabila masyarakat melihat keupayaan seseorang, bukan kekurangan.
Dr Sabrina turut menyeru agar usaha berterusan diperkasa meliputi dasar, pendidikan, peluang pekerjaan dan penerimaan sosial bagi memastikan pemberdayaan golongan OKU dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMS dan Pusat Perkhidmatan OKU (PPOKU) atas komitmen serta sokongan berterusan dalam memperkasa mahasiswa OKU.
Majlis berkenaan mencerminkan iltizam UMS membentuk masyarakat kampus yang progresif, inklusif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi universiti untuk meraikan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.






