Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Samsiah tekad pastikan pembangunan menyeluruh di DUN Kukusan

Read Time:1 Minute, 22 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talats

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Samsiah Usman, menegaskan bahawa tumpuan utamanya jika diberi mandat oleh rakyat adalah memastikan pembangunan menyeluruh dapat direalisasikan di kawasan tersebut.

“Ini satu tanggungjawab besar. Terima kasih kepada pimpinan tertinggi GRS, khususnya Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Tan Sri Liew kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi calon DUN Kukusan.

“Segala apa yang ingin saya bawa adalah bersandarkan suara rakyat, apa yang rakyat inginkan, itulah yang saya perjuangkan,” katanya pada sidang media di Pejabat PHRS, di sini hari ini.

Menurutnya, potensi pembangunan di Kukusan kini semakin luas selepas tanah di kawasan itu diwartakan, membuka ruang kepada pelaksanaan projek-projek baharu untuk manfaat jangka panjang.

“Dengan pewartaan tanah ini, lebih banyak pembangunan boleh dimajukan. Semua pembangunan yang selama ini tiada, kita akan usahakan supaya wujud di Kukusan. Fokus saya adalah pembangunan menyeluruh, bukan untuk satu kelompok tetapi untuk semua,” tegasnya.

Samsiah berkata, pembangunan yang dimaksudkannya meliputi aspek ekonomi, kebajikan rakyat, peluang pekerjaan dan pengukuhan peranan wanita serta belia dalam masyarakat.

“Kita akan merangkumi semua iaitu wanita, belia, pesara, golongan 40-an. Daripada segi kebajikan, ekonomi dan hak wanita, semuanya akan diberi perhatian,” jelasnya.

Mengulas mengenai persaingan dengan penyandang DUN Kukusan, Datuk Rina Jainal, Samsiah menyifatkan pertandingan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat.

“Yang menentukan adalah rakyat. Dalam demokrasi, sesiapa pun boleh bertanding. Siapa yang dipilih, dialah yang akan bekerja. Tanggungjawab wakil rakyat adalah untuk memajukan dan membantu rakyat, itu sahaja,” katanya.

Samsiah menegaskan bahawa beliau kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mendengar dan memahami keperluan penduduk Kukusan demi memastikan pembangunan holistik dapat dicapai sekiranya diberi mandat.

LEAVE A RESPONSE