Read Time:1 Minute, 21 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Persiapan bagi pusat penamaan calon pilihan raya bagi kawasan Parlimen P190 Tawau yang dijadualkan berlangsung esok telah berada pada tahap akhir, dengan semua pasukan teknikal, keselamatan dan pentadbiran kini bersiap sedia sepenuhnya.
Menurut Penolong Pegawai Pengurus Pentadbiran P190, Jonah Pitah, persiapan bermula sejak awal pagi di Dewan Masyarakat Tawau, lokasi rasmi proses penamaan calon.
“Semua berada di peringkat akhir dan pasukan teknikal serta keselamatan sudah bersiap sejak awal pagi tadi untuk memastikan kelancaran proses penamaan calon,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan persiapan hari ini.
Beliau berkata, sekitar 60 petugas urusetia akan bertugas di dalam dewan sepanjang proses berlangsung.
Raptai penuh dijadualkan pada petang dan akan dipimpin oleh Pegawai Pengurus, Mohd Sofian Mohd Said.
“Beliau akan mengetuai raptai bagi memastikan semua pergerakan dan prosedur berjalan seperti sepatutnya, dari pintu masuk calon sehingga ke dalam dewan,” jelas Jonah.
Menurut Jonah, semua laluan masuk dan pergerakan calon dari kawasan luar dewan ke dalam dewan telah ditetapkan, termasuk penandaan peraturan dan arahan perjalanan yang akan dipasang pada petang ini.
“Di luar dewan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau bersedia sepenuhnya untuk mengawal keselamatan dan lalu lintas, dibantu oleh anggota keselamatan RELA.
“Selain itu, susun atur dalam dewan selesai lebih awal, dengan hanya “sedikit touch up” terakhir seperti pelabelan tempat duduk bagi memastikan keseragaman dan aturan tempat<‘ ujarnya.
Sementara itu, semua dokumen berkaitan proses penamaan calon akan disediakan pada sebelah petang.
Selain PDRM dan RELA, kerjasama turut diberikan oleh Jabatan Penerangan serta Jabatan Air, yang membantu memastikan aspek logistik dan fasiliti berada pada tahap terbaik.
“Kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi hari penamaan calon esok,” katanya.





