Read Time:1 Minute, 45 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
MEMBAKUT : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut Datuk Dr Mohd Arifin Arif menegaskan pihaknya sedia berdepan dengan mana-mana pihak yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).
Katanya, ia selaras dengan semangat demokrasi dan amalan politik matang yang diamalkan di Sabah.
Beliau berkata, keyakinan itu juga adalah berdasarkan semangat dan keyakinan tinggi menerusi rekod kerja serta perkhidmatan berterusan kepada rakyat sepanjang tempoh penggal lalu.

“Kita sedia menghadapi siapa saja saingan kita, insya-Allah. Berdasarkan kepada rekod kerja dan perkhidmatan kita, kita yakin dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan mana-mana parti.
“Ini demokrasi ,siapa saja layak dan boleh bertanding,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera parti GRS Membakut di sini malam tadi.
Beliau berkata, pelancaran jentera itu yang menghimpunkan pelbagai sayap termasuk Wanita, Pemuda, Beliawanis dan Jentera J10 membuktikan kesiapsiagaan GRS Membakut dalam menghadapi PRU Sabah kali ini.
“Alhamdulillah, hari ini kita melancarkan jentera GRS Membakut yang terdiri daripada sayap wanita, sayap pemuda, sayap buliwanis dan juga J10.
‘Kita sudah bersedia sepenuhnya. Persiapan kita bukan baru, kita telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.

Menurut beliau, jentera GRS Membakut bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebaliknya sentiasa turun padang menyantuni rakyat dalam pelbagai keadaan termasuk ketika bencana banjir dan majlis-majlis komuniti setempat.
“Saya sendiri bersama rakan-rakan bahagian GRS Membakut turun menyantuni rakyat — waktu susah, waktu senang.
“Semua itu kita laksanakan kerana khidmat kepada rakyat tidak menunggu pilihan raya,” katanya.
Beliau menegaskan, kini tiba masanya rakyat membuat penilaian berdasarkan rekod khidmat dan keikhlasan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk kepentingan mereka.
“Kita yakin rakyat akan berpihak kepada mereka yang telah memberikan khidmat terbaik. Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri turut dirasai oleh masyarakat di eluruh pelusuk Sabah.
“Ini bukti bahawa GRS dan rakan dalam Kerajaan Perpaduan benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Insya-Allah, dengan semangat dan keikhlasan jentera kita, serta doa seluruh rakyat Membakut, kita akan terus mara untuk memastikan kestabilan dan kemajuan negeri Sabah dapat diteruskan di bawah panji GRS,” katanya. – SABAH MEDIA






