Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Datuk Bob yakin mampu tawan kerusi DUN Darau

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU :  Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi menaruh keyakinan tinggi terhadap peluang untuk menewaskan penyandang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kerja keras yang telah digerakkan sejak beberapa bulan lalu, selain maklum balas positif daripada rakyat di peringkat akar umbi yang menunjukkan keinginan kuat terhadap perubahan.

“Potensi untuk menang? Of course, we are confident. We have been working hard. Kita turun ke lapangan, we deliver. That’s very important,” katanya.

Razali ketika berucap pada program kembara Jentera Sayap GRS di Kampung Likas – Foto Shane Sabbie

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kembara Jentera Sayap Darau di Kampung Likas di sini pada Khamis.

Katanya, denyut nadi masyarakat jelas menunjukkan keinginan terhadap perubahan positif, hasil gerak kerja berterusan yang telah dilakukan bersama jentera parti.

“Saya dapat mendengar dan melihat sendiri bahawa orang-orang di kampung ini mahu perubahan yang membawa kebaikan kepada mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan belia agar tidak terlalu berlebih-lebihan meraikan kempen pilihan raya sehingga melupakan tujuan sebenar perjuangan.

“Kita jangan bawa PRU ini sebagai satu pesta. Pokoknya adalah untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa parti kita mengamalkan semangat inklusiviti. Kamu boleh berseronok, tapi jangan lalai,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa program turun padang bukan hanya bermula selepas pengumuman calon, sebaliknya sudah menjadi budaya kerja mereka sejak dua tahun lalu.

“Kita bukan baru turun selepas diumumkan calon. Lebih dua tahun kami konsisten turun setiap Sabtu dan Ahad untuk bertemu rakyat. Inilah budaya kerja kita yang berbeza dengan parti-parti sebelum ini,” katanya.

Beliau yakin pendekatan mendekati rakyat secara berterusan akan menjadi kekuatan utama GRS dalam mendepani saingan kali ini.

Pada PRU Sabah ke-16, kerusi DUN Darau dimenangi penyandang Azhar Matussin yang mewakili Parti Warisan Sabah dengan jumlah undi 5,805 undi.-  SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE