Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Wanita didakwa komen jelik di Facebook dapat DNAA

Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Consumers Front of Sabah (CFOS) dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan memuat naik komen yang menyakiti perasaan orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain, memberikan DNAA kepada Hashimah Hasbullah ketika kes itu disebut hari ini.

Mengikut pertuduhan Hashimah didakwa membuat komen yang jelik melalui laman profil Facebook beliau pada 18 Februari 2024 jam lebih kurang 5.27 petang, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang mana komen tersebut telah dibaca oleh Bahru Sam Bakri di Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort.

Komen tersebut adalah berkaitan dengan dakwaan terhadap pihak berkenaan yang dikatakan enggan menerima laporan penduduk kampung berhubung isu pencerobohan tanah.

Dia didakwa melakukan satu kesalahan di bawah subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada Hashimah dan pasportnya juga diserahkan semula.

Menurut Hashimah, DNAA diberikan oleh mahkamah kerana menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan aktivis Heidy Quah, yang mencabar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Azhier Farhan mewakili Hashimah.

LEAVE A RESPONSE