Read Time:1 Minute, 6 Second
Oleh Raul G
TUARAN: Seramai 50 penghuni rumah pekerja di Taman Seri Lemawang, di sini, berdepan detik cemas apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Difahamkan, kebakaran membabitkan 70 pintu rumah kayu berkeluasan kira-kira satu ekar itu berlaku sekitar 5.45 pagi, sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran membabitkan 70 pintu rumah jenis tidak kekal pada jam 5.45 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, api dilihat merebak dengan cepat berikutan struktur rumah kayu dan bersambung namun semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Manakala seorang lelaki berusia lingkungan 60-an didapati cedera ringan akibat terkena zink ketika menyelamatkan diri,” katanya dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa terbabit diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital Tuaran.
Pasukan bomba menggunakan dua aliran dan empat pancutan air dari jentera serta tangki air dengan teknik pemadaman ofensif dan defensif.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.28 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.52 pagi kemudian”.
“Anggaran kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM






