Read Time:1 Minute, 4 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
LUMADAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam yang diumumkan semula sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah ke-17) mahu menyambung kesinambungan pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu terus diberi perhatian.
Ruslan berkata, harapan beliau adalah agar semua projek dan rancangan yang sedang dijalankan dapat diteruskan, sambil merangka inisiatif baru selepas pilihan raya.
“InsyaAllah kita akan mendapat mandat daripada rakyat sendiri khususnya di DUN Lumadan.
“Dengan mandat ini, kita akan pulangkan semula kepada rakyat mengikut keperluan kritikal dan kategori yang mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas diumumkan sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Lumadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Ruslan turut menekankan tahap kesiapsiagaan jentera pilihan raya, yang sudah dipersiapkan sejak tiga bulan lalu, bagi memastikan gerak kerja dan hubungan dengan pengundi lebih mantap selepas menerima watikah calon.
“Kita akan rapatkan saf jentera pilihan raya dan rakyat. Sebelum ini pun, kita sentiasa bekerja di lapangan, dan kita akan terus berusaha demi kesejahteraan mereka, khususnya di DUN Lumadan,” tambahnya.
Dengan penekanan pada pembangunan berterusan, kecekapan pentadbiran, dan keprihatinan terhadap rakyat, Ruslan berharap pengundi akan memberi kepercayaan kepada beliau untuk penggal baharu dalam PRN Sabah nanti. – SABAH MEDIA






