Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Shah Alfie gariskan tiga misi utama untuk Tanjung Keramat

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Calon muka baharu mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, menggariskan tiga misi utama sebagai tawarannya dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

Beliau menamakan tiga teras tersebut sebagai, Memperkasa Belia Lestari, Memantapkan Ekonomi Setempat dan Membudayakan Keusahawanan.

Sebagai anak jati kawasan itu, Shah Alfie berkata, beliau amat memahami keperluan penduduk, terutamanya golongan muda yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengundi.

“DUN Tanjung Keramat ini adalah tanah tumpah darah saya. Insya-Allah, aspirasi utama saya adalah untuk menterjemahkan tiga misi ini kepada hasil yang boleh dirasai oleh penduduk, khasnya dalam menyediakan peluang dan memantapkan kualiti hidup,” katanya.

Shah Alfie, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), berkata latar belakangnya dalam bidang perakaunan dan keusahawanan akan digunakan sepenuhnya untuk menjayakan misinya.

“Fokus saya adalah untuk menerapkan idealogi keusahawanan di kalangan pelbagai golongan masyarakat, yang mana ini adalah kunci kepada ekonomi setempat yang mapan,” jelasnya.

Beliau yakin gabungan pengalamannya di peringkat akar umbi dan pentadbiran mampu merealisasikan visi tersebut.

“Pengalaman saya sebagai Ahli Majlis Daerah Putatan, ditambah dengan peranan sebagai Pegawai Khas di Parlimen Putatan selama tiga tahun, telah memberi pendedahan mendalam mengenai struktur pentadbiran serta keperluan geopolitik dan ekonomi di daerah ini,” jelasnya.

Shah Alfie turut membawa pengalaman khidmatnya sebagai Pegawai Khas di DUN Tanjung Keramat dan di peringkat parti sebagai Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Keramat.

Beliau diumumkan sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Tanjung Keramat dalam majlis penyampaian watikah yang disempurnakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, pada Rabu. – SABAH MEDIA.

LEAVE A RESPONSE