Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Calon GRS Kiulu, Joniston tekad teruskan pembangunan jika diberi mandat lagi

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh Raul G

KIULU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, bertekad meneruskan pelan pembangunan menyeluruh yang dirancang bagi memperkukuh kemajuan Kiulu sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau menegaskan, rancangan tersebut merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif yang dijalankan bersama masyarakat sejak mula mewakili kawasan itu pada tahun 2013.

“Mandat ini adalah amanah untuk memastikan setiap rancangan yang telah dirancang dapat direalisasikan.

“Kiulu sudah mempunyai asas yang kukuh, dan kita perlu terus bergerak ke fasa seterusnya,” kata Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Joniston, yang merupakan bekas wartawan dan sebelum ini berkhidmat sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, selain Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah di bawah pentadbiran GRS.

Beliau pernah memegang portfolio Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah di bawah pentadbiran Barisan Nasional pada tahun 2013 sehingga 2018.

Beliau dikenali atas inisiatif dan sumbangannya dalam pembangunan pelancongan luar bandar dan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah, dengan Kiulu dijadikan projek perintis bagi inisiatif pelancongan luar bandar.

Joniston berkata, usaha membawa pelancongan Kiulu ke peringkat antarabangsa akan diteruskan, dengan pelan pembangunan kawasan itu menumpukan kepada pengukuhan pentadbiran akar umbi, pemerkasaan sektor pertanian dan industri kecil, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan kepimpinan kepada belia dan wanita.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan GRS, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, serta Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Kiulu.

Joniston berkata jentera GRS kini aktif di lapangan bagi memperkukuh kerjasama dengan masyarakat setempat dan terus mendengar keperluan rakyat.

Beliau turut menyeru rakyat Kiulu untuk terus bersatu dan menilai berdasarkan rekod kerja serta hasil yang telah dicapai sehingga kini.

LEAVE A RESPONSE