Read Time:1 Minute, 49 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Datuk Victor Paut, yakin persiapan rapi dan kerja akar umbi yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu mampu menewaskan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, di kawasan itu.
Victor, 60, yang juga seorang usahawan berasal dari Tambunan berkata, kekuatan jentera dan keahlian GRS di kawasan berkenaan yang kini menjangkau lebih 17,000 orang memberi keyakinan tinggi terhadap peluang kemenangan parti itu menewaskan penyandang kerusi DUN berkenaan, Dr Jeffrey, yang digelar ‘giant killer’ kerana pengaruh kuatnya di kawasan itu.
“Saya menyeru semua penyokong agar terus memberi sokongan dan mengundi GRS supaya kesinambungan pembangunan di Tambunan dapat diteruskan.
“Saya mungkin calon baharu, tetapi sudah lama bergiat dalam politik. Sebagai anak jati Tambunan, saya memahami aspirasi dan keperluan rakyat di sini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut beliau, kekuatan sebenar GRS di Tambunan terletak pada pendekatan mendekati rakyat secara berterusan sejak tiga tahun lalu.
“Kami sudah bekerja setiap hari, siang dan malam, mendekati rakyat hingga ke akar umbi. Itulah rahsia keyakinan kami untuk menang kali ini,” katanya.
Mengulas visinya untuk daerah itu, Victor berkata, fokus utamanya adalah untuk memajukan Tambunan dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan masyarakat.
“Visi saya untuk Tambunan ialah saya mahu memajukan daerah ini dari aspek ekonomi, sosial dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, potensi Tambunan untuk berkembang pesat amat besar jika dua sektor utama diberi perhatian.
“Saya melihat ekonomi Tambunan dapat dilonjakkan melalui dua aspek utama, iaitu pembangunan pertanian moden dan pemerkasaan sektor pelancongan ke tahap maksimum. Tambunan mempunyai potensi besar kerana daerah ini kaya dengan latar belakang sejarah dan warisan semula jadi yang unik,” katanya.
Mengenai peluang GRS menawan kerusi DUN Tambunan, Victor menyifatkannya sebagai amat cerah memandangkan rakyat di sini mahukan perubahan dan kepimpinan baharu.
“Peluang GRS menang di Tambunan amat cerah kerana majoriti penduduk mahu perubahan dari segi kepimpinan serta kemajuan ekonomi dan pembangunan. Tambunan sudah jauh ketinggalan berbanding daerah lain di Sabah, dan rakyat mahukan seorang pemimpin baharu yang mempunyai visi serta misi jelas untuk membawa Tambunan ke era yang lebih maju,” katanya.






