Read Time:1 Minute, 19 Second
KUALA PENYU: Kadar tambang bot penumpang bagi laluan Menumbok–Wilayah Persekutuan Labuan yang sebelum ini dinaikkan kepada RM12 kini dikembalikan kepada harga asal RM9 berkuat kuasa serta-merta mulai 11 November 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dicapai hasil dua siri pertemuan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan beberapa pihak terlibat
Antaranya beberapa agensi kerajaan berkaitan dan Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok susulan aduan serta kekeliruan awam berhubung kenaikan surcaj bahan api yang dikuat kuasakan pada 1 November lalu.
“Sebanyak tiga persetujuan utama telah dicapai, antaranya tambang dikembalikan kepada RM9 berbanding kadar RM12 yang dikenakan sebagai surcaj sementara.
“Selain itu, KPDN akan menyegerakan kelulusan subsidi petrol RON95 kepada operator bot yang layak melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 13 November 2025,” katanya dalam kenyataan di sini.
Armizan berkata, operator bot dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos tambahan bahan api sebagai langkah interim.
Katanya, tuntutan bagi tempoh 30 September hingga 31 Oktober 2025 — ketika tambang belum dinaikkan tetapi kos operasi meningkat — turut akan dipertimbangkan dengan rekod pembelian.
“Pihak kementerian merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok atas kerjasama dalam mencapai penyelesaian yang seimbang demi kepentingan semua pihak,”‘katanya.
Beliau turut menghargai peranan bekas wakil rakyat Kuala Penyu, Datuk Limus Jury yang membantu memastikan kebajikan penumpang dan pengusaha bot diberikan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, langkah pemulihan kadar tambang ini dijangka melegakan ribuan penumpang harian antara Menumbok dan Labuan, selain membantu meringankan tekanan kos operasi yang ditanggung pengusaha bot akibat kenaikan harga bahan api. – SABAH MEDIA






