Read Time:1 Minute, 27 Second
RANAU: Yayasan Axiata memperkukuh komitmen terhadap akses pendidikan di Sabah melalui pelaksanaan Program Back to School di daerah ini, sekali gus memberi manfaat langsung kepada 1,000 pelajar daripada keluarga B40 bagi sesi persekolahan 2026.
Program di bawah Dana Axiata Ekuiti dalam Pendidikan itu dilaksanakan sebagai sebahagian usaha yayasan merapatkan jurang pendidikan dan sosioekonomi, khususnya dalam kalangan komuniti pedalaman.
Ranau menjadi lokasi terbaharu selepas Sabah dikenal pasti sebagai kawasan pelaburan utama melalui pelbagai inisiatif teras Pemantapan Komuniti.
Majlis peluncuran rasmi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Wen, Ranau menyaksikan pelajar daripada lima sekolah menerima bantuan.
Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, SMK Kundasang, SMK Ranau, SMK Lohan dan SMKA Mohamad Ali.
Sekolah terlibat menerima set lengkap kelengkapan sekolah merangkumi pakaian seragam, kasut, stoking serta alatan pembelajaran seperti set geometri dan kalkulator saintifik.
Dalam majlis sama, Yayasan Axiata menyerahkan cek cura bernilai RM214,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau sebagai simbolik sumbangan bagi pembekalan kelengkapan sekolah.
Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan PPD Ranau.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal Nawawi berkata inisiatif itu selari dengan misi yayasan untuk menyediakan peluang pendidikan berkualiti, saksama dan inklusif kepada semua.
Beliau menegaskan sokongan menyeluruh kepada pelajar B40 amat penting bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan keyakinan dan kelengkapan yang mencukupi.
Sehingga kini, Program Back to School Yayasan Axiata memberi impak positif kepada lebih 4,000 pelajar seluruh negara dengan jumlah pelaburan RM1.7 juta. Inisiatif berterusan di Sabah mengukuhkan aspirasi yayasan untuk memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan ekonomi atau lokasi.
Pelaksanaan di Ranau sekali lagi menegaskan tekad Yayasan Axiata memperkasa komuniti melalui pendidikan, seterusnya membuka ruang mobiliti sosial yang lebih luas kepada generasi muda B40. – SABAH MEDIA





