Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hampir 40,000 ekar tanah SFI dikeluarkan untuk rizab kampung

Read Time:1 Minute, 48 Second

TENOM: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeri daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industry (SFI) untuk dijadikan rizab kampung, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kerajaan Negeri GRS telah mewartakan rizab kampung ini sebagai bukti bahawa kerajaan peka terhadap keperluan rakyat.

“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, kita telah meluluskan lebih. 40,000 ekar tanah kerajaan daripada SFI untuk tujuan ini,” katanya semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga telah diperuntukkkan dan diberikan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat hidup dengan selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya ialah kemakmuran rakyat, sebab itu kita mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini hanya sekitar 30,000 orang tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun di bawah Kerajaan Negeri sekarang, jumlah penerima telah meningkat kepada 70,000 orang.

Hajiji turut berkata, Kerajaan Negeri telah memperoleh banyak manfaat daripada Perjanjian Kerjasama Kpmersial (CCA) dengan PETRONAS, sambil menegaskan bahawa Sabah kini mempunyai suara yang lebih besar dan penglibatan yang lebih luas dalam industri minyak dan gas.

“Dalam sektor peerkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), kini terdapat lebih 80 vendor tempatan yang terlibat dalam industri minyak dan gas berbanding hanya 10 pada tahun 2022,” katanya sambil menambah bahawa vendor-vendor ini kini menguasai 36 peratus daripada pasaran kontrak.

Hajiji berkata, tidak seperti pihak pembangkang yang bermain politik dendam apabila mengambil alih kerajaan, kerajaan pimpinan GRS menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan melalui Hala Tuju SMJ 1.0.

“Jika rakyat memberikan semula mandat kepada GRS, kita akan meneruskan pembangunan di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.

“Kita tidak bermain politik. Kita tidak membuat janji kosong. Kita mempunyai agenda pembangunan, sedangkan pembangkang sanggup berjanji bulan dan bintang,” katanya.

Hajiji turut mengesahkan Datuk Rubin Balang sebagai calon GRS bagi kerusi Kemabong dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 pada 29 November ini.

“Dengan jentera yang kukuh dan sokongan padu daripada para pengundi di Kemabong. Insyallah Datuk Rubin Balang akan sekali lagi memenangi pilihan raya ini,” katanya.

LEAVE A RESPONSE