Read Time:1 Minute, 28 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah hari ini mengumumkan senarai tujuh calon rasmi yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Tujuh daripada calon itu, tiga adalah muka baharu, dua ialah Ahli Parlimen dan empat antara mereka adalah calon wanita.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon-Calon PH–DAP yang diadakan di Magellan Sutera di sini, hari ini.
Calon yang diumumkan ialah Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, yang juga bekas ADUN Luyang, akan bertanding di DUN Likas; Timbalan Pengerusi DAP Sabah merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, bagi kerusi DUN Tanjung Aru; dan Datuk Jannie Lasimbang dikekalkan di DUN Kapayan.
Sementara itu, Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, akan bertanding di DUN Elopura; Ketua DAPSY Tawau, Philip Yap Wui Lip, di DUN Sri Tanjung; Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah, Chan Loong Wei, di DUN Luyang; dan Tang Szu Ching pula mewakili parti di DUN Tanjung Papat.
Anthony berkata, DAP terus mengetengahkan kepimpinan wanita sebagai manifestasi komitmen parti terhadap kesaksamaan gender, dengan 50 peratus daripada lapan kerusi yang diperuntukkan kepada DAP Sabah diisi oleh calon wanita.
“Kita mahu lebih ramai penyertaan wanita. Lelaki dan wanita sama penting dalam perjuangan parti. Kita adalah parti progresif yang mengiktiraf peranan wanita dan mengamalkan dasar kesaksamaan gender,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa lima daripada lapan calon terdiri daripada mereka berumur 40 tahun ke bawah, selaras dengan usaha parti memberi ruang kepada pelapis muda membina pengalaman politik serta berkhidmat kepada rakyat.
Sementara itu, satu lagi kerusi di kawasan pedalaman masih dalam rundingan bersama rakan-rakan gabungan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.






