Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hakim tegur peguam minta tangguh perbicaraan kerana mahu bertanding PRU DU Sabah

Read Time:1 Minute, 10 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini menegur seorang peguam yang memohon penangguhan perbicaraan kes rasuah kerana berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selain mendakwa dokumen berkaitan kes masih belum diserahkan sepenuhnya.

Hakim Elsie Primus membuat teguran itu selepas dimaklumkan mengenai permohonan penangguhan tersebut oleh seorang peguam lain yang hadir bagi pihak peguam terbabit.

Elsie menegaskan bahawa beliau tidak akan menangguhkan perbicaraan itu kerana kes berkenaan sudah berpanjangan sejak 2023.

“Kes ini dari tahun 2023 dan saya percaya semua dokumen telah pun diserahkan…. Jangan berbohong di mahkamah.

“Kalau dia mahu jadi calon, adakah kita perlu tunggu keputusan pilihan raya dahulu baru sambung kes ini? Saya tidak akan menangguhkan perbicaraan ini. Tolong sampaikan pesanan saya kepadanya.

“Jika dia menang, buat permohonan bertulis kepada mahkamah,” katanya semasa prosiding yang dijalankan secara dalam talian (Zoom).

Mahkamah kemudian menetapkan 1 hingga 3 Disember tahun ini untuk tarikh perbicaraan.

Peguam tersebut mewakili seorang pemilik Syarikat Bakruni Juani yang didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM556,900 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) 1.0 dan 2.0

Pada tahun 2023, Bakruni didakwa memasukkan 99 nama pekerja syarikat Aquamiste Legacy ke dalam senarai program tersebut dengan niat untuk memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah program itu.

Sebahagian nama yang dikemukakan bukanlah pekerja syarikat Aquamiste Legacy.

Tertuduh dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu kesnya selesai.

LEAVE A RESPONSE