Read Time:1 Minute, 30 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Dua nelayan warga Filipina dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas didapati bersalah memiliki 2,050 liter petrol tanpa lesen sah di perairan Semporna, minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh, Al Haber Atara, 32, dan Baid Alpah, 19, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama memiliki barang kawalan berjadual, iaitu minyak petrol, tanpa lesen sah di atas sebuah bot laju berwarna kelabu dan hitam yang tiada nombor pendaftaran.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 November lalu jam 3.45 pagi di kawasan Perairan Tanjung Manimpa, Semporna, dan disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dibaca bersama Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap (4 November 2025) serta kedua-dua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pendakwa Raya, Samat Mapiare @ Muparia, manakala kes disiasat oleh Muhammad Fitri Ahmad Sabri dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Semporna.
Berdasarkan fakta kes, serbuan dilakukan Unit Risikan Ungerin Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, yang menemui 2,050 liter minyak petrol disimpan di dalam bot berkenaan tanpa sebarang dokumen atau lesen urus niaga sah.
Mahkamah turut memerintahkan barang kawalan iaitu minyak petrol berkenaan dijual dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan.
Sementara itu, barang kes lain termasuk bot laju, enjin sangkut Yamaha 200HP, bateri Fujiya, anak kunci bot, Throttle enjin dan 35 liter minyak bercampur 2T dilucuthakkan kepada KPDN mengikut Seksyen 26(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Bagi kesalahan berkenaan, individu boleh dikenakan denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara hingga lima tahun.






