Read Time:2 Minute, 3 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah mendengar kes buli serius dalam kalangan pelajar perempuan, sebaliknya hanya mengetahui pergaduhan biasa melibatkan pelajar lelaki.
Menurut peguam kepada ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, perkara itu didedahkan oleh saksi kanak-kanak ke-30 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada pendengaran inkues kematian Zara, yang memasuki hari ke-33, hari ini.
Mohd Syarulnizam berkata saksi yang tinggal di blok asrama berbeza daripada Zara turut memberi keterangan bahawa beliau tidak mengenali Zara secara peribadi dan hanya mengenali seorang pelajar junior yang merupakan rakan rapat kepada Zara.
“Saksi tidak mengenali Zara dan cuma mengenali seorang pelajar junior yang merupakan kawan rapat kepada Zara. Saksi menyifatkan pelajar junior tersebut sebagai peramah namun suka memutar belit cerita, dan pernah berlaku salah faham apabila pelajar itu menuduh saksi bersikap sombong dengan pelajar junior,” Mohd Syarulnizam.
Tambahnya, pada awal Mei 2025, saksi pernah bersemuka dengan pelajar junior itu di dalam kelas bagi mendapatkan penjelasan sekiranya terdapat sebarang masalah antara mereka.
Namun, pelajar berkenaan menafikan perkara itu dan mengangkat sumpah di hadapan rakan-rakan bahawa tiada isu antara mereka. Saksi turut menyedari pelajar itu menangis ketika kejadian, tetapi menegaskan tiada sebarang sentuhan atau kekerasan berlaku.
Saksi juga menyatakan bahawa pelajar-pelajar junior kadang-kadang menyebut namanya kerana sikapnya yang tegas dan garang, terutama apabila mereka gagal menjaga kebersihan bilik atau asrama.
“Menurut saksi, ada satu insiden pada penghujung Mei 2025, apabila dia ternampak ketiga-tiga pelajar junior termasuk Zara. Saksi berkata mereka dikatakan menyindir para pelajar junior termasuk adik saksi.
“Pada malam tersebut, saksi bersemuka dengan ketiga-tiga pelajar junior tersebut untuk bertanya sama ada mereka mempunyai masalah dengan adiknya. Zara dan para pelajar junior hanya diam dan saksi menegaskan supaya mereka tidak mengganggu atau menyentuh adiknya. Saksi berkata tiada sebarang kekerasan berlaku,” katanya.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa itu merupakan kali pertama dan terakhir saksi berjumpa dengan Zara, dan selain daripada insiden tersebut, beliau tidak pernah berbual atau berhubung secara peribadi dengan Zara.
Saksi berkata pada malam kejadian 15 Julai 2025, beliau berada di dorm sendiri dan tidur sekitar jam 11 malam sebelum bermalam di dorm rakan lain.
Saksi juga menyatakan bahawa dia tidak pernah terlibat dalam kesalahan disiplin serius, melainkan kesalahan seperti tidak memakai stokin atau lewat turun ke masjid.
Turut mewakili ibu Zara adalah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James.
Prosiding inkues bersambung esok.
Tamat






