Read Time:1 Minute, 15 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera yang menghisap rokok elektronik (vape) di dalam pesawat AirAsia ketika dalam penerbangan pulang bercuti ke Sabah dijatuhi hukuman denda RM5,500 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Muhammad Aliy Joni, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan itu yang dilakukan pada 21 Ogos lalu sekitar jam 9.05 pagi dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Dia didakwa di bawah Peraturan 100 (1) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (2) (a) peraturan yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi sehingga RM25,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh yang duduk di tempat duduk bernombor 3A didapati menghisap vape secara terbuka di dalam pesawat. Tindakannya telah ditegur oleh seorang pramugari namun tertuduh tidak menghiraukan teguran tersebut dan terus menghisap vape sekali lagi.
Sebaik pesawat mendarat di KKIA sekitar jam 9.25 pagi, pengadu bersama kakitangan AirAsia menahan tertuduh dan membawanya ke Balai Polis KKIA untuk tindakan lanjut.
Siasatan mendapati tertuduh merupakan anggota tentera darat yang bertugas di Senawang, Negeri Sembilan. Tertuduh pulang ke Sabah untuk bercuti di kampungnya sehingga 2 September 2025.
Pengadu telah membuat laporan polis dan batas laporan tersebut, anggota Balai Polis KKIA telah menahan semula suspek serta merampas sebuah rokok elektronik (vape) jenama Quik dan pas masuk pesawat (boarding pass).
Tertuduh telah membayar denda.






