Read Time:1 Minute, 50 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Lima keluarga di Kampung Batu 2, di sini, berdepan detik cemas apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang melanda daerah ini awal pagi tadi.
Menurut salah seorang mangsa, Herna Nasir, 37, ketika kejadian kira-kira 1 pagi itu beliau dan keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari arah bumbung rumah.

“Masa tu kami semua tengah tidur, tiba-tiba angin kuat menarik atap sampai tercabut semuanya. Hujan pun terus masuk, habis basah semua barang elektrik, buku-buku, kipas, TV dan beberapa lagi perkakas rumah,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini, pada Khamis.
Herna berkata, rumah mereka bersambung-sambung dan dihuni oleh lima keluarga lain yang turut mengalami nasib sama apabila atap rumah diterbangkan angin.

“Jiran sebelah pun sama. Semua tidak sempat selamatkan barang sebab hujan lebat. Kami lari masuk dalam kereta untuk berlindung,” katanya lagi.
Tambahnya, lima anaknya tidak dapat ke sekolah hari ini kerana semua buku dan pakaian basah akibat hujan.

Seorang lagi penduduk, Alfina Sical, 39, berkata, keluarganya terpaksa bermalam di dalam kenderaan bagi mengelakkan bahaya selepas bumbung rumah mereka tercabut sepenuhnya.
“Ini kali pertama jadi begini. Saya baru tiga tahun tinggal di sini, sewa RM500 sebulan. Banyak barang rosak, termasuk barangan elektrik dan pakaian anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, mereka turut merayu pihak berkenaan tampil untuk membantu meringankan bebab dihadapi ketika ini.

“Kami amat memerlukan tempat berteduh dan berlindung seketika sementara rumah ini diperbaiki,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, TPgB Jemishin Uji, pihaknya tidak menerima laporan kecederaan atau kemalangan jiwa akibat kejadian itu.
“Setakat pagi ini, hanya dilaporkan rumah mengalami kerosakan. Di sekitar bandar Tawau pula terdapat kira-kira 20 pokok tumbang akibat angin kuat, namun tiada insiden melibatkan nyawa,” katanya.
Tambah beliau, pihak bomba telah menjalankan kerja pembersihan di beberapa kawasan terjejas, manakala kejadian banjir yang dilaporkan hanyalah banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar. – SABAH MEDIA






