Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PGA Sabah tumpas sindiket seludup ayam beku dan ayam sabung bernilai RM21.7 juta

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan ayam beku dan ayam sabung dalam satu operasi bersepadu yang dilaksanakan di 15 lokasi di lapan daerah seluruh negeri pada 4 November lalu.

Operasi yang dinamakan Op Bersepadu Chiller dan Op Bersepadu Manuk itu dijalankan hasil maklumat risikan antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, diketuai PGA Briged Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi.

Menurut Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Nor Omar Sappi, operasi bersepadu tersebut menyasarkan dua bentuk kesalahan utama iaitu penyeludupan makanan sejuk beku dan aktiviti penyeludupan serta penternakan ayam sabung yang dikaitkan dengan kegiatan perjudian.

“Sebanyak 15 lokasi diperiksa melibatkan lapan daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Semporna,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Operasi itu turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kekuatan keseluruhan seramai 174 anggota.

Daripada jumlah itu, seramai 109 pegawai dan anggota daripada PGA Briged Sabah terlibat bersama 21 pegawai JPVS, 20 pegawai PBT dan 24 pegawai KKM.

Menjawab pertanyaan mengenai sumber makanan sejuk beku yang dirampas dan lokasi aktiviti sabung ayam, Nor Omar berkata barangan itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara.

“Ini adalah perniagaan yang menguntungkan, jadi sudah tentu aktiviti seperti ini akan berterusan. Namun pihak polis akan terus mengambil pendekatan tegas untuk membanteras kegiatan seumpamanya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai asal usul barangan sejuk beku berkenaan kerana ia tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk permit, aspek kebersihan dan pensijilan halal.

“Mengenai aktiviti sabung ayam pula, ia dikesan dijalankan di kawasan ladang seperti ladang kelapa sawit,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil operasi membawa kepada tangkapan 24 individu berusia antara 18 hingga 61 tahun, terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita, semuanya warga tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM21,762,277.70 dan kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 15(1) dan Seksyen 21(1)(i) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 serta Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948,” katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis akan terus komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan di negeri ini. Orang ramai juga digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha ini,” tambahnya.

LEAVE A RESPONSE