Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Tanah Jimpangah milik persendirian, Kerajaan GRS tawar tapak penempatan baharu – Isnin

Read Time:2 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Isnin Aliasnih menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terlibat dalam tindakan merampas tanah penduduk di Kampung Jimpangah , Beaufort.

Beliau menjelaskan bahawa isu yang tular di media sosial sejak beberapa bulan lalu itu berpunca daripada salah faham dan manipulasi fakta oleh pihak pembangkang, khususnya melibatkan beberapa individu luar yang menunggang isu berkenaan bagi kepentingan politik.

“Tanah yang dipersoalkan itu bukan tanah kerajaan, sebaliknya tanah milik persendirian yang sah dengan geran yang telah dikeluarkan sejak tahun 1905 lagi semasa zaman pentadbiran British.

“Tanah berkeluasan lebih 10.2 ekar itu kini dimiliki oleh syarikat yang sah berdaftar, setelah melalui beberapa urusan jual beli secara sah sejak puluhan tahun lalu.

“Pemilik baharu telah membeli tanah itu dengan harga yang tinggi dan telah menawarkan kepada penduduk setempat untuk membeli semula lot tanah masing-masing, tetapi sebahagian mereka enggan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi bual bicara khas bersama Penerangan Gagasan Rakyat di sini.

Isnin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias berkata, daripada 58 keluarga yang menetap di kawasan tersebut, seramai 17 keluarga bersetuju membeli tanah yang mereka diami, manakala 31 keluarga lain enggan dengan alasan tanah itu milik warisan mereka.

“Mereka sudah berpuluh tahun duduk di situ, ada yang sampai 50 tahun, jadi mereka anggap tanah itu hak mereka. Tapi hakikatnya tanah itu ada geran dan tuan punya sah,” katanya.

Sementara itu, Isnin berkata, beliau memilih untuk tidak campur tangan secara langsung dalam kes tersebut kerana ia kini berada di bawah bidang kuasa mahkamah.

“Saya tidak mahu mengganggu urusan mahkamah. Kalau saya campur, itu dikira menghina mahkamah dan boleh didakwa. Kita mesti hormati proses undang-undang.

“Tuduhan mengatakan saya tidak membantu penduduk adalah tidak benar. Sebaliknya, saya telah mengambil langkah proaktif bagi mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Sebagai jalan penyelesaian, Isnin mendedahkan bahawa beliau telah menyediakan tapak penempatan baharu untuk penduduk terlibat di kawasan berhampiran, dengan menggunakan perbelanjaan sendiri lebih RM50,000.

“Saya sudah sediakan tanah gantian. Kawasannya sedang dilatakkan, dan apabila siap, kita akan pecahkan lot untuk mereka.

“Di situ juga akan ada surau, gereja dan kemudahan asas lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kerja pengukuran tanah sedang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Saya hanya minta mereka bersabar sedikit. Kita bukan zalim, kita cuma mahu selesaikan dengan cara yang sah dan beradab,” ujarnya.

Dalam pada itu, Isnin turut mendakwa isu ini sengaja dibesar-besarkan oleh pihak pembangkang, khususnya Parti Warisan, bagi menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri dan GRS.

“Mereka buat video, kumpul derma kononnya untuk bantu penduduk, tapi duit itu pun tak tahu ke mana.

“Yang bising bukan pun orang Jempangah, kebanyakannya orang luar yang mahu cari nama politik,” tegas beliau.

Justeru beliau menyeru penduduk agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial, sebaliknya mendapatkan penjelasan terus daripada pihak berkuasa dan pemimpin setempat.

“Saya sentiasa terbuka. Kalau mahu tengok sendiri, datang ke pejabat saya, saya boleh tunjukkan geran asal yang bertarikh lebih seratus tahun lalu,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE