Read Time:2 Minute, 55 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya membuka laluan kepada anak muda Sabah untuk berkembang dan menyumbang secara langsung kepada ekosistem pembangunan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Program Felo SMJ yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri merupakan platform penting bukan hanya untuk membina pengalaman, tetapi membentuk jati diri, integriti dan ciri-ciri kepimpinan unggul. Ini seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam kerangka Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang mana pembangunan modal insan adalah nadi utama dalam membina masa depan negeri yang mampan dan berdaya saing,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Felo SMJ 4.0 kepada 42 anak muda di negeri ini yang menyertai program Felo SMJ, di Menara Kinabalu hari ini.
Hajiiji menambah, ini adalah antara inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri untuk membangunkan anak-anak muda dan golongan belia di negeri ini.
“Kerajaan tidak hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi yang lebih penting, pemimpin yang berjiwa rakyat, yang mampu menyelami denyut nadi komuniti, yang membawa suara rakyat ke meja dasar, dan menjulang semangat cintakan negeri ini melebihi kepentingan diri,” katanya.
Beliau turut menyeru Felo SMJ untuk menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk mengetahui dunia sebenar pentadbiran Kerajaan Negeri, fahami bagaimana dasar dilakar, keputusan digubal, dan bagaimana jentera kerajaan digerakkan untuk rakyat.
“Harapan saya, agar para felo ini akan menjadi sumbu perubahan, menyemarakkan obor kepimpinan yang ikhlas, berani dan berpandangan jauh demi Sabah yang lebih maju, bersatu dan berjaya.
“Jadikan tempoh sebagai Felo SMJ ini sebagai medan kepimpinan yang menjadi tempat membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian. Letakkan integriti sebagai teras diri dan ambillah peluang ini untuk membuktikan bahawa anak muda mampu mengemukakan idea bernas, menawarkan solusi berani, dan memimpin dengan tindakan yang berkesan,” katanya.
Hajiji berkata golongan belia bukan hanya sekadar pelapis, tetapi adalah aset penting yang menjadi pewaris masa depan yang sedang dibentuk hari ini.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua Felo SMJ. Jadikan pengalaman ini permulaan kepada perjalanan kepimpinan yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini.
“Harapan saya semoga generasi muda ini menjadi penerus kepimpinan yang membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” ujarnya.
Beliau juga memuji semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengambil bahagian dalam program Felo SMJ kerana sentiasa komited dan konsisten dalam menyokong pembangunan modal insan di negeri Sabah.
Tambanya, dalam pelaksanaan program Felo Sabah Maju Jaya kali ini sebanyak 20 GLC terlibat berbanding hanya 10 GLC sebelum ini.
Katanya, peningkatan ini bukan sekadar angka ia adalah manifestasi kepercayaan dan sokongan teguh yang menggambarkan kesepakatan kukuh antara kerajaan negeri dan GLC dalam melahirkan barisan pemimpin muda Sabah pada masa depan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa ramai dalam kalangan felo ini telah ditawarkan peluang untuk menyertai GLC masing-masing selepas tamat program. Ia merupakan satu perkembangan yang membanggakan,” katanya.
Hajiji melihat usaha berterusan yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dalam merangka dan melaksanakan program yang menjadi medan penting dalam mengasah bakat kepimpinan, membina daya saing serta mempersiapkan generasi pelapis negeri Sabah sebagai satu usaha yang amat baik.
Sebagai makluman, Felo SMJ merupakan salah satu usaha proaktif KBSS, untuk melahirkan barisan “Future Leaders” dan “Talent Pool” dalam kalangan belia, termasuk graduan Sarjana Muda, STPM, STAM dan Diploma sebagai pelapis kepimpinan negeri Sabah.
Menerusi program ini, belia Sabah yang menamatkan pengajian berpeluang menimba pengalaman langsung dalam bidang pengurusan serta pentadbiran Kerajaan Negeri, selain terlibat dalam proses merangka dan menggubal dasar.
Ia menjadi medan terbaik buat graduan untuk menimba ilmu dan pengalaman di kementerian, GLC dan agensi kerajaan di Sabah.






